Sejak dua dekad lalu, Siti Zabidah Muhammad Rasyid mengharapkan keajaiban untuk menyelamatkan anaknya Razali daripada hukuman mati.
Anaknya dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah memiliki 851 gram ganja 23 tahun lalu.
Namun, doa Siti Zabidah akhirnya dimakbulkan minggu ini apabila Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.
"Saya cukup gembira," kata Siti Zabidah yang sebak ketika ditemui di kediamannya di Selangor.
Siti Zabidah berkata, anaknya memberitahu seorang rakan memaksanya membawa dadah itu. Razali kemudian dijadikan kambing hitam selepas ditahan.
Seorang hakim menolak cubaan awal oleh keluarga berkenaan untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman itu.
Siti Zabidah menceritakan bagaimana dia rebah selepas mendengar keputusan hakim, bimbang tiada keadilan untuk anaknya.
"Saya boleh teruskan hidup tanpa suami tetapi bukan tanpa anak," katanya.
Lebih 1,300 pesalah berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup di Malaysia – termasuk mereka yang menamatkan semua rayuan – boleh mendapatkan semakan kehakiman di bawah peraturan baharu yang diluluskan pada Isnin.
Pindaan yang diluluskan akan terpakai kepada 34 kesalahan yang kini boleh dikenakan hukuman mati, termasuk pembunuhan dan pengedaran dadah.
Sebelas daripada kesalahan itu membawa hukuman mandatori.
Buat masa ini, hukuman penjara seumur hidup, yang ditakrifkan oleh undang-undang sebagai tempoh tetap selama 30 tahun, akan dikekalkan.
Nasib anak Siti Zabidah terletak di tangan mahkamah, yang kemungkinan akan menjatuhkan hukuman mati atau hukuman alternatif.
Alternatif kepada hukuman mati di bawah peraturan baharu itu termasuk rotan dan hukuman penjara sehingga 40 tahun.
Siti Zabidah berkata dia akan berdiri di sisi anaknya dalam apa jua sekalipun.
"Selagi saya masih hidup, saya akan berikan dia kekuatan," katanya.