Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Abdul Hamid Shaikh, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan suapan tersebut melalui Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada menteri komunikasi dan multimedia ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, syarikat Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan itu kepada Tan, seorang ahli perniagaan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat dan pada tarikh yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap dua bulan sekali bermula Mei ini.
“Jaminan dan syarat berkenaan telah dipersetujui kedua-dua pihak (pendakwaan). Kami mohon tarikh sebutan seterusnya pada 2 Jun ini untuk penyerahan dokumen dan permohonan untuk kedua-dua pertuduhan dibicarakan secara bersama pada tarikh akan datang,” katanya.
Peguam Shu Ivy yang mewakili Abdul Hamid Shaikh mengesahkan persetujuan jaminan dan syarat tambahan berkenaan.
"Pihak kami baharu sahaja mendapat kertas pertuduhan pada pagi ini, berikutan itu kami perlu mengkaji dahulu pertuduhan sebelum membuat keputusan untuk membantah atau tidak perbicaraan secara bersama,” katanya.
Kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussain dan Rozina Ayob.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan yang dimohon dan menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes.