Wan Saiful Wan Jan dari Perikatan Nasional mengecam sekatan yang dikenakan terhadap ahli Parlimen untuk mengambil bahagian ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQ).
Beliau berkata, ini sekali gus menyebabkan rasa kurang minat rakyat untuk mendengar perbahasan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga mengkritik Anwar Ibrahim, sambil berkata perdana menteri banyak mengelak daripada menjawab soalan dan tidak tahu jawapan penuh semasa sesi pertanyaan mingguan.
“Banyak yang meleret-leret tanpa fakta tuntas,” kata Wan Saiful.
“Ada masa sebut nama akta pun tak jelas. Ayat pun kadang kadang cacamarba. Jadi, sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada perdana menteri. Kalau kualiti jawapan perdana menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya mengulas kenyataan Fahmi Fadzil dari Pakatan Harapan (PH) yang mempersoalkan ketiadaan ahli Parlimen kanan PN termasuk pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin, dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Fahmi ketika memuat naik gambar di Facebook menunjukkan blok pembangkang, mempersoalkan ketidakhadiran ketiga-tiga pemimpin tersebut, sambil berkata slot PMQ adalah peluang terbaik pembangkang untuk mengemukakan soalan kepada perdana menteri.
Akan tetapi Wan Saiful berkata tidak seperti PMQ di Parlimen Britain, hanya ahli Parlimen yang disebut speaker boleh bertanya soalan.
“Yang lain-lain tak boleh bertanya apa-apa. Dan Speaker hanya benarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan dari pihak satu lagi.
“Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya saja dari sebelah PN boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. Ahli Parlemen lain tak boleh.”
Beliau juga berkata tiada slot untuk ketua pembangkang menyoal perdana menteri, tidak seperti amalan di Westminster.
“Jadi janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot PMQ ini, ketua pembangkang atau ketua parti boleh turut serta dalam tanya soalan.
“Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin ke arah persepsi yang salah.
PMQ diperkenalkan pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang bermula pada 13 Februari dan berakhir semalam.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata ia adalah salah satu reformasi yang ingin dilaksanakannya.
“Kita akan mulakannya sebagai ujian rintis terlebih dahulu, supaya kita dapat mengenal pasti masalah yang mungkin timbul,” katanya.