- Iklan -
Berita

Isu mahasiswa berpolitik dominasi sesi townhall pemansuhan Auku

Antara persoalan yang paling kerap disentuh adalah sama ada had kuasa timbalan naib canselor hal ehwal pelajar (HEP) akan dipinda dalam akta itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Gelagat dua mahasiswa baharu Universiti Putra Malaysia semasa berada di dalam bas di Serdang, 6 Oktober.
Gelagat dua mahasiswa baharu Universiti Putra Malaysia semasa berada di dalam bas di Serdang, 6 Oktober.

Sesi townhall dan dialog terbuka mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) menyaksikan dogma politik kepartian masih mendominasi pemikiran dan pergerakan pelajar di universiti-universiti awam seluruh negara. 

Sesi perbincangan awam yang berlangsung kira-kira selama tiga jam itu dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Mohammad Yusof Apdal, ahli akademik, wakil pentadbir universiti dan para perwakilan mahasiswa. 

Sebelum sesi bermula, kelihatan mahasiswa sudah berbaris panjang bersedia untuk bertanyakan soalan. 

Antara persoalan yang paling kerap disentuh adalah sama ada had kuasa timbalan naib canselor hal ehwal pelajar (HEP) akan dipinda dalam Auku kerana entiti itu disifatkan paling "berkuasa" mengawal pergerakan mahasiswa terutamanya melibatkan penganjuran aktiviti dalam kampus. 

Selain itu, isu berkenaan kebebasan perwakilan dan persatuan mahasiswa menguruskan dana secara bebas tanpa kawalan pihak pentadbiran universiti diberikan jaminan berterusan dalam pindaan Auku yang terbaru. 

Beberapa wakil pelajar bangkit mempersoalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengapa masih membahaskan tentang pindaan seksyen dalam akta berkenaan daripada menggerakkan inisiatif memansuhkannya.

"Kalau ada iltizam politik, kita sudah boleh mansuhkan Auku," kata seorang wakil Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). 

Pada 16 Mac lepas, KPT pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berpendirian bahawa pendekatan meminda Auku 1971 adalah langkah yang lebih tepat berbanding memansuhkan terus akta itu. 

Susulan itu, kementerian tersebut dijangka akan meneruskan perbincangan ke universiti-universiti seluruh negara selain sesi townhall yang berlangsung pada hari ini.

Dalam pada itu, Khaled turut memberi jaminan mahasiswa akan diberikan kebebasan yang diinginkan dalam tempoh satu tahun akan datang melalui pindaan Auku yang sudah masuk kali kelapan pindaan sejak lebih lima dekad kewujudannya.

Menurutnya, menjadi sangat mustahak untuk melihat keupayaan mahasiswa bergerak sendiri, toleransi dan bekerja dengan pelbagai pihak di dalam dan luar universiti.

"Kita nak kolaborasi bukan penentangan dengan sesiapa sahaja.

"Itu bukan yang kita cari dalam mahasiswa kita tapi nilai-nilai untuk kita berjaya bila kita keluar dari alam universiti," katanya.

Tidak kurang juga, wakil pentadbiran universiti bertanyakan beberapa isu berbangkit termasuk kebebasan persatuan dan perwakilan mahasiswa menerima sumbangan dana termasuk dari ahli politik dan tiada sekatan terhadap mana-mana pihak yang ingin menyumbang. 

Cadangan ini juga dilihat akan memberikan peluang kepada mereka untuk bergerak tanpa bergantung kepada sumbangan yuran pengajian dan persatuan semata-mata. 

Pandangan senior dan bekas pemimpin pelajar

Selain sesi soal jawab, tetamu yang hadir juga turut diberikan peluang untuk memberikan pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai pengaruh Auku ketika menuntut di universiti beberapa puluh tahun lalu.

Seorang bekas perwakilan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) di era 80-an berkata mereka tidak berasa terkongkong disebabkan akta tersebut bahkan mampu memberi pengaruh kepada komuniti di luar kampus.

Kataya, asasnya sangat mudah iaitu mahasiswa tidak perlu menyentuh larangan atau melawan seksyen dalam Auku.

"Selagi anda tak sentuh siling itu, anda bebas bergerak." 

Manakala, seorang bekas perwakilan pelajar UKM yang kini seorang penceramah bebas, Ridhuan Tee Abdullah pula berkata mahasiswa ketika era Auku benar-benar sedang berkuasa, bijak menganjurkan aktiviti sehingga pengaruh mereka sudah melangkaui akta tersebut.

"Nak cerita, aktifnya kami beraktiviti sampai batal konsert Sheila Majid masa itu," katanya.

Sementara itu, pensyarah dan penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Sani pula berpandangan menyifatkan Auku sebagai akta kuku besi hanyalah persepsi mahasiswa sahaja.

Selepas tujuh kali pindaan dibuat ke atas Auku bermakna lebih banyak kebebasan diberikan kepada mahasiswa untuk bergerak dab berpolitik.

"Jadi nak apa lagi?"

Sivamurugan Pandian dari USM pula melihat dilema mahasiswa sebenarnya mahukan kebebasan ruang, akses, infrastruktur dan wang. 

"Persoalannya, adakah Auku ini lebih besar daripada lembaga universiti atau lembaga universiti lebih besar dari Auku?"

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.