- Iklan -
Berita

Muhyiddin kecam Anwar kerana mahu berunding dengan China berhubung wilayah Malaysia

Pengerusi PN berkata hak wilayah Malaysia tidak terbuka untuk perbincangan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengecam kenyataan Anwar Ibrahim yang menyatakan keterbukaan Malaysia untuk berunding dengan China berhubung kebimbangan mengenai aktiviti cari gali oleh Petronas di Laut China Selatan, dengan mengatakan ia mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.

“Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang perdana menteri.

“Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan,” kata bekas perdana menteri itu.

Anwar dalam ucapannya di Dewan Rakyat mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini berkata Petronas akan meneruskan aktivitinya di kawasan itu.

Beliau juga berkata Malaysia terbuka kepada rundingan dengan Beijing berhubung kebimbangan negara tembok besar itu.

“Kalau China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan,” katanya.

Muhyiddin berkata hak wilayah Malaysia tidak terbuka untuk rundingan "walaupun ia dituntut oleh China".

Beliau berkata walaupun Kuala Lumpur mengiktiraf China sebagai kuasa ekonomi global, namun ia tidak bermakna “kedaulatan Malaysia boleh dikompromi”.

“Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara. 

“Kenyataan perdana mentari tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara,” katanya, sambil menambah kenyataan Anwar adalah sangat lemah, tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti “menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing”.

Petronas beroperasi dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ), yang sebahagiannya dituntut oleh China sebagai wilayahnya berdasarkan apa yang dipanggil sebagai "nine-dash line".

Pada 2016, Mahkamah Tribunal Timbang Tara Tetap yang berpangkalan di The Hague memutuskan bahawa “nine-dash line” di kawasan laut berkenaan tidak mempunyai asas perundangan.

Malaysia dan China adalah antara tujuh negara di sekitar Laut China Selatan yang telah membuat tuntutan wilayah.

Negara lain ialah Brunei, Taiwan, Indonesia, Filipina, dan Vietnam. 

China menghantar aset ketenteraannya di kawasan itu dalam satu langkah untuk menyokong tuntutan wilayahnya ke atas seluruh Laut China Selatan. 

Muhyiddin berkata Anwar mengundang risiko kedaulatan wilayah Malaysia dengan mengulangi dakwaan China bahawa kehadiran tenteranya adalah di "perairan antarabangsa". 

Beliau berkata negara anggota Asean masih belum mencapai sebarang konsensus mengenai tuntutan bercanggah di Laut China Selatan, tetapi menolak “nine-dash line” yang dituntut Beijing.

“Mengenai tuntutan bertindih, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus Asean dan South China Sea Code of Conduct,” kata Muhyiddin.