Kerajaan merancang satu jelajah besar-besaran bulan depan dalam apa yang mungkin dilihat sebagai strategi untuk meningkatkan sokongan rakyat terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelang pilihan raya di enam negeri.
Dinamakan sebagai "Minggu Perpaduan", program yang akan diadakan dari 20 hingga 28 Mei ini akan menyaksikan penganjuran pelbagai acara oleh Kementerian Perpaduan Negara di semua negeri.
Kandungan program atau sama ada pemimpin kerajaan akan ditampilkan masih belum dibutirkan terperinci, tetapi MalaysiaNow dimaklumkan bahawa program itu akan menekankan beberapa frasa slogan kerajaan seperti "madani" dan "rahmah", istilah yang sering diguna pakai dalam ucapan penyiaran awam dan inisiatif kerajaan.
Rancangan Minggu Perpaduan ini mengimbas kembali program yang sama pada akhir tahun 80-an sewaktu pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Setia Bersama Rakyat atau Semarak, yang dilancarkan hanya beberapa bulan selepas krisis kepimpinan yang memecahbelahkan Umno, dilihat sebagai cara Mahathir untuk meningkatkan sokongan dalam parti Melayu itu susulan penyingkiran beberapa pengkritik diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Kempen yang turut disertai Anwar secara aktif sebagai menteri pendidikan, dipromosikan dalam bentuk jelajah ke bandar-bandar besar, cenderamata, acara sekolah dan lagu-lagu propaganda terutamanya lagu Setia yang dibawakan oleh artis terkenal ketika itu.
Kerajaan ketika itu menafikan dakwaan pengkritik bahawa kempen Semarak menggunakan jentera kerajaan untuk mempromosikan agenda politik bagi mengukuhkan imej Mahathir yang tercalar susulan perpecahan Umno, tindakan kejam terhadap perbezaan pendapat serta krisis badan kehakiman yang menyaksikan penyingkiran kontroversi hakim kanan.
Kerajaan pada ketika itu mempertahankan program Semarak sebagai cara menyemai semangat patriotisme dan platform pemimpin bertemu rakyat.
Dalam nada yang sama, Kementerian Perpaduan Negara dalam pada itu berkata matlamat Minggu Perpaduan adalah bagi menonjolkan kepentingan patriotisme, menyemai rasa cinta kepada negara dan meraikan kepelbagaian di Malaysia.
Program itu berkemungkinan akan diawasi dengan teliti terhadap implikasi politiknya, ketika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersaing untuk mendapatkan undi Melayu yang akan menentukan masa depan kedua-dua gabungan tersebut di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Anwar dan pemimpin PH menerima kritikan hebat daripada penyokong dan aktivis masyarakat sivil selepas beberapa siri langkah yang bertentangan dengan komitmen perdana menteri untuk melaksanakan pembaharuan institusi.
Langkah itu termasuk beberapa lantikan politik dalam syarikat dan agensi berkaitan kerajaan, dan usaha baru Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi bekas pemimpinnya Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara kerana rasuah membabitkan ratusan juta ringgit.
Kemarahan semakin memuncak selepas peguam kerajaan diarahkan supaya tidak membantah permohonan presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraannya.
Zahid yang memainkan peranan penting dalam memastikan Anwar dapat membentuk kerajaan tahun lepas, sedang berusaha untuk menggugurkan 47 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan "siasatan lanjut" berdasarkan "bukti baru”daripada peguam Zahid.
Beberapa pengkritik memberi amaran kepada Anwar agar tidak tunduk kepada tekanan yang diberikan Umno.
Ini termasuk seorang ahli Parlimen kerajaan yang memberi amaran kepada presiden PKR itu bahawa sebarang usaha untuk membebaskan Najib dan Zahid akan menjadi malapetaka kepada kerajaannya yang baru berusia lima bulan.
Anwar, yang mengambil alih jawatan tertinggi itu diikuti dengan beberapa siri siasatan terhadap musuh politiknya baru-baru ini berkata bersedia menanggung akibat dalam memerangi pemimpin terlibat rasuah yang merancang untuk menggulingkan kerajaannya.
“Kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan, tetapi saya tidak akan bertolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa kita dan negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara," katanya tanpa merujuk secara spesifik terhadap mana-mana pihak berhubung perkembangan terkini berkaitan Zahid dan Najib.