- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam kecam JPN rampas kad pengenalan wanita

Menurut Lawyers for Liberty terdapat prosedur Perlembagaan untuk sebarang langkah sedemikian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu giliran utuk berurusan di premis Jabatan Pendaftaran Negara. Gambar: Bernama
Orang ramai menunggu giliran utuk berurusan di premis Jabatan Pendaftaran Negara. Gambar: Bernama

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana merampas kad pengenalan seorang pesakit kanser di Sarawak atas alasan sedang menjalankan siasatan terhadap status kewarganegaraannya.

Menurut LFL, terdapat prosedur Perlembagaan untuk sebarang langkah sedemikian. 

Pengarah LFL Zaid Malek berkata JPN tidak mempunyai hak untuk merampas kad pengenalan sesiapa tanpa mengira bentuk siasatan yang dijalankan. 

"Rampasan kad pengenalan individu itu adalah satu tindakan yang menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan oleh JPN," tambahnya. 

"Ia merupakan salah guna kuasa yang serius kerana ia merupakan satu tindakan melucutkan hak kewarganegaraan mangsa dan hak mereka yang terikat dengannya." 

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang mempertahankan tindakan JPN itu, berkata siasatan menunjukkan bahawa wanita terbabit adalah warga Indonesia. 

Bagaimanapun, LFL berkata Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan prosedur yang perlu dipatuhi jika kerajaan bercadang untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang, termasuk mengeluarkan notis bertulis dan siasatan serta laporan.

“Perkara 26B menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan jika ia mengakibatkan mereka tidak bernegara.

“Hakikatnya menteri dalam negeri tidak merujuk kepada proses sedemikian yang telah dijalankan malah kerajaan turut mempertahankan tindakan JPN yang secara terang-terangan melanggar Perlembagaan.

"JPN sendiri telah mengesahkan bahawa siasatan masih berjalan, yang mana secara logiknya proses di bawah Perlembagaan belum bermula. Oleh itu, individu itu boleh mengekalkan status kewarganegaraan mereka melainkan perintah untuk melucutkannya dibuat dengan mematuhi Perlembagaan – namun ketika ini kad pengenalannya telah diambil dan haknya kini terjejas, yang paling membimbangkan ialah haknya untuk mendapatkan rawatan kanser di hospital kerajaan." 

LFL dalam satu kenyataan berkata, adalah menjadi tugas Saifuddin untuk memastikan JPN mematuhi undang-undang.

"Namun beliau telah memilih untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak berperikemanusiaan, menghalalkan tindakan ke atas seorang wanita yang benar-benar terdesak dan kini semakin menderita akibat tindakan JPN itu." 

LFL juga menggesa kerajaan memulangkan semula kad pengenalan wanita itu, sambil berkata wanita tersebut berhak untuk memegangnya melainkan perintah pelucutan kewarganegaraan dibuat mengikut Perlembagaan. 

"Kami juga menggesa kerajaan untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja dalam JPN yang terlibat dalam keputusan merampas kad pengenalan wanita itu secara terang-terangan mengenepikan Perlembagaan."