- Iklan -
Berita

Aktif 'live' di TikTok, Sanusi pecah tradisi ahli politik turun padang

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor adalah salah seorang daripada sebilangan ahli politik yang menggunakan platform media sosial untuk berhubung dengan pengguna internet.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang aktif berinteraksi dengan rakyat kebanyakan dipuji ramai terutamanya pengguna media sosial, menyifatkan pemimpin itu bekerja "lebih masa" hampir setiap hari ini. 

Ini susulan aktiviti terkini Sanusi yang bersiaran langsung di aplikasi TikTok hampir setiap malam bersama beberapa pengguna yang menjemputnya menyertai siaran langsung tersebut. 

Kebiasaannya, hos-hos itu mengundang Sanusi bersiaran langsung pada waktu lewat malam bagi membincangkan pelbagai isu dan topik terutamanya melibatkan hal ehwal semasa, politik dan kos sara hidup. 

Setiap sesi siaran langsung pula bertahan sehingga hampir dua jam atau melebih pukul 1 pagi.

Malah, tontonan bagi setiap siaran langsung catat jumlah yang tinggi cecah ribuan penonton meskipun waktu sudah masuk awal pagi. 

"Mantap. Dia ‘tackle’ (ambil perhatian) audiens dan penyokong awal-awal lagi," tulis pengguna TikTok, Amirul Star di salah satu sesi siaran langsung kumpulan hos dengan Sanusi. 

"Budak-budak, orang tua dan muda semua dia (Sanusi) sapu habis dah," katanya.

"Sebab itu tak pelik kalau PN (Perikatan Nasional) kuat. Sebab dia orang memang turun akar umbi," komen pengguna @spicehead di Twitter. 

Pada masa sama, Sanusi turut mencuri perhatian pengguna TikTok apabila beliau duduk "bersembang" di dalam rumahnya menunjukkan suasana serba serbi sederhana meskipun bergelar seorang menteri besar. 

"Biasa rumah menteri tunjuk pinggan hiasan ribu-ribu. MB ni tunjuk ampai baju," komen Dzultrafik di siaran langsung Tiktok. 

Tinjauan MalaysiaNow mendapati sesi siaran langsung Sanusi di TikTok turut membuka peluang beliau mendapat pujian dan kritikan secara terbuka terutamanya di ruangan komen. 

Ramai pengguna yang bebas mengeluarkan komen mengkritik parti dan pentadbirannya. 

Terdapat juga yang menggunakan peluang itu untuk membuat aduan dan memberi cadangan tentang beberapa isu berbangkit di Kedah. 

Bagaimanapun, pemerhati politik berkata meskipun maklum balas sedemikian berlaku pada sesi siaran langsung Sanusi di TikTok, pendekatan tersebut dipercayai memberi kesan positif kepada pemimpin itu khususnya juga kepada PN. 

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia Anis Anwar berkata tindakan Sanusi berinteraksi di aplikasi tersebut perlu dilihat dari kekuatan yang dimiliki oleh platform tersebut berbanding platform media sosial yang lain. 

Ini khususnya bagi rakyat Malaysia yang menjadikan TikTok sebagai pilihan utama dari pelbagai lapisan masyarakat dengan ciri-ciri yang menarik dan lebih santai. 

Menurut Anis lagi, jika diteliti “algorithm” TikTok lebih mudah tular dan mendapat capaian yang lebih luas.

Dengan itu, pendekatan Sanusi dipercayai sebagai langkah strategik bagi membina popularitinya dan usaha mendekatkan diri dengan rakyat berbanding pendekatan konvensional untuk turun secara bersemuka.

"Imej yang dipamerkan oleh Sanusi melalui pemakaian kasual dan loghat Kedah adalah usaha mempamerkan diri beliau mewakili gaya hidup rakyat kebanyakan.

"Khususnya demografi masyarakat di Kedah, berbanding gaya hidup korporat di ibu negara," katanya kepada MalaysiaNow. 

Bagaimanapun, Anis mengingatkan bahawa ruang santai bersiaran langsung di TikTok itu amat berbeza dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di mana kedua-dua platform ini mempunyai imuniti tersendiri. 

Berbeza di media sosial, mana-mana pihak termasuk pemimpin berisiko untuk didakwa atau disaman disebabkan ucapannya yang mencetuskan pertikaian. 

Atas sebab itu, Anis menegaskan sekiranya platform itu digunakan bagi menyampaikan pandangan politik dan mengupas dasar kerajaan, beliau perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangannya. 

"Ini berbeza dalam acara rasmi di mana teks ucapan dasar telah ada sebagai panduan dan persidangan DUN yang mana segala persiapan rapi telah dilakukan," ujarnya.