- Iklan -
Berita

Pengurusan rayuan pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB dilanjutkan

Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 26 Mei kerana rekod rayuan belum disediakan hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam kes pindaan laporan audit 1MDB. Gambar: AFP
Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam kes pindaan laporan audit 1MDB. Gambar: AFP

Mahkamah Rayuan menetapkan 26 Mei ini untuk satu lagi tarikh pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong ketika dihubungi, mengesahkan satu lagi tarikh pengurusan kes ditetapkan kerana rekod rayuan belum disiapkan.

Hari ini ditetapkan pengurusan kes rayuan pertama pihak pendakwaan yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Selain Cheong, turut hadir ialah peguam Alaistair Norman yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar yang mewakili pendakwaan.

Pada 3 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka. Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri. 

Dalam penghakimannya, Zaini berkata beliau telah memberikan penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan dan tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati beliau (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan ia serasi dengan keterangan yang dikemukakan dan keterangan saksi lain.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan laporan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac.