Ketika cakap-cakap mengenai pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak semakin hangat, pemerhati politik memberi amaran tindakan itu bakal meletakkan pengundi Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan dilema moral.
Ini kerana PH selama ini menggunakan alasan moral melawan rasuah dan kleptokrasi untuk mendapatkan kuasa.
Sejak 2014, Najib terheret dalam skandal membabitkan syarikat kerajaan 1MDB yang mana PH menggunakan isu itu sebagai senjata untuk menjatuhkan pentadbiran beliau pada 2018.
Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata, langkah memberi pengampunan dan seterusnya membebaskan Najib akan menjadi kekecewaan terbesar buat pengundi PH, selain impak besar kepada reputasi Anwar sebagai “pejuang reformasi”.
"Pembebasan ini juga akan memberikan 'peluru' kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang ini.
"Saya rasa sangat sulit untuk PH mengelak dari isu ini dan ada kemungkinan juga ramai pengundi PH tidak akan keluar mengundi masa Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak," katanya.
Pertengahan tahun ini, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijadualkan mengadakan pilihan raya.
Sekiranya ia terjadi, PH bakal berdepan kesukaran mempertahankan tiga negeri yang ditadbir mereka sekarang.
Umno baru-baru ini menyatakan mahu bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi memohon ihsan baginda untuk mengampunkan bekas presiden mereka itu.
Najib sebelum ini tewas dalam semakan kehakiman kes SRC International dengan keputusan majoriti 4-1 yang memusnahkan harapan beliau untuk lepas daripada jeriji besi.
Hakim Nazlan Ghazali pada 2020 menjatuhi hukuman bersalah kepada bekas ahli Parlimen Pekan itu dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RN200 juta selepas beliau didapati bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu pada 2021 dan Najib memulakan hukuman penjara beliau setelah rayuannya gagal.
MalaysiaNow sebelum ini melaporkan hubungan PH dan BN mungkin retak akibat kegagalan Najib dalam semakan kehakimannya.
Najib masih mempunyai pendukung yang kuat dari kalangan akar umbi dan Majlis Tertinggi Umno dan mereka lantang menyuarakan nasib bekas perdana menteri itu.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata, permohonan pengampunan untuk Najib dilihat sukar dan mencabar.
"Najib berdepan banyak kes yang sedang dan akan dibicarakan.
“Bagaimana Lembaga Pengampunan boleh mempertimbangkan perkara itu kerana Najib belum menghabiskan sebahagian hukuman.
"Bagaimana jika beliau dihukum lagi (dalam kes lain), keadaan akan menjadi tidak begitu harmoni," katanya.
Justeru, Mazlan berkata kemungkinan Najib tidak diampunkan sangat tinggi dan memerlukan keajaiban.
Menurut Mazlan, perkara 42(8) menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan secara peribadi.
Selain kes SRC, Najib yang mula disiasat selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018 itu masih berdepan kes 1MDB yang sedang dalam perbicaraan.
Mazlan mengakui sokongan kepada PH bakal terkesan namun situasi itu tidak muktamad.
"Politik ini ada tambah tolaknya. Kajian terbaru saya di lima Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan menunjukkan sokongan kpd PH dan BN masih padu," katanya.
Najib bukan satu-satunya pemimpin yang cuba mencari kebebasan.
Timbalan Perdana Menteru Ahmad Zahid Hamidi juga baru-baru ini mengemukakan representasi memohon agar semua pendakwaan ke atasnya berhubung kes Yayasan Akal Budi digugurkan.
Kes tersebut membabitkan 47 pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.
Zahid sebelum ini berjaya mendapatkan semula pasportnya bagi menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri.
Zahid yang mengekalkan kerusi Bagan Datuk dengan majoriti lebih 300 undi pada pilihan raya umum lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada September lalu atas p40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara.