- Iklan -
Berita

Ismail seolah-olah ingin melihat perpecahan kerajaan, kata Loke

Menteri pengangkutan itu berkata, hubungan Umno dengan Pakatan Harapan hanyalah satu bentuk kerjasama, bukan perkahwinan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Gambar: Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Gambar: Bernama

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mempersoalkan pendirian bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob yang seolah-olah ingin melihat perpecahan dalam kerajaan.

Setiausaha Agung DAP itu turut menasihatkan Ismail yang juga ahli Parlimen Bera bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah daripada nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas tiada parti berjaya meraih kerusi untuk membentuk kerajaan.

"Jadi, janganlah sebagai mantan PM, dia tiap-tiap hari ingin nak lihat perpecahan dalam kerajaan hari ini," katanya kepada pemberita hari ini.

"Jadi, saya tidak tahu apakah hasrat beliau. Seolah-olah nak lihat perpecahan dalam istilah kerajaan perpaduan hari ini.”

Sebelum ini, Ismail yang juga bekas naib presiden Umno terus mengkritik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dengan meramalkan bahawa kerjasama antara Umno dan PH mungkin tidak akan bertahan lama.

Katanya, keretakan dalam gabungan antara BN-PH itu sudah boleh dilihat apabila sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan Umno Johor menegur beberapa pemimpin DAP dan PKR kerana melontarkan komen yang dianggap sebagai menghina parti Melayu itu.

"Setakat ini, baru permulaan. Kita tengoklah. Saya tak mahu komen lebih. 

“Tapi dah ada dah, DAP komen tentang Umno, Umno komen tentang DAP," katanya sambil melabelkan kerjasama ini sebagai "kahwin paksa".

Dalam pada itu, Loke membidas tanggapan Ismail dan menyatakan "hubungan" Umno dan PH tidak sama seperti satu perkahwinan, tetapi hanya sekadar kerjasama.

"Saya ingin nasihatkan Ismail bahawa kerjasama antara PH dan BN untuk membentuk kerajaan adalah nasihat daripada YDP Agong," katanya.

Pada masa sama, Loke turut menafikan berlakunya peperangan antara pemimpin Umno dan DAP dan menyifatkan segala kenyataan dikeluarkan adalah lebih kepada pandangan individu berbanding parti.

Katanya, semua individu dalam mana-mana parti berhak meluahkan pandangan masing-masing dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka berbuat demikian.

"Seperti di dalam banyak parti, beberapa pandangan yang diluahkan adalah pandangan peribadi.

"Tetapi apabila parti membuat keputusan, maka itu adalah pendirian parti," tambah Loke.