- Iklan -
Berita

Pemimpin Umno Labuan tandatangan surat aku janji kesetiaan

Mereka yang didapati melanggar mana-mana klausa yang ditetapkan dalam surat aku janji itu akan berdepan tindakan tatatertib.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 11 Januari.
Perwakilan hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 11 Januari.

Semua pemimpin Umno Bahagian Labuan menandatangani surat aku janji sebagai bukti kesetiaan kepada parti.

Ketua Umno Labuan Mohd Rafi Alli Hassan berkata langkah itu selaras dengan arahan kepimpinan Umno pusat agar semua pemimpin parti menunjukkan kesetiaan mereka.

“Penandatanganan surat aku janji itu tidak dilakukan pada masa lepas, dan inilah masa yang penting buat semua pemimpin parti yang diberi tanggungjawab untuk menunjukkan komitmen dan kesetiaan penuh mereka kepada parti.

“Seperti yang kita tahu, terdapat banyak kes mengenai pemimpin Umno, sebagai contoh di Sabah yang ‘melompat’ selepas melihat peluang dalam parti politik lain, dan surat ini penting kerana menggariskan terma dengan jelas seperti yang dipersetujui pemimpin mengikut perlembagaan parti,” katanya selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada 60 asnaf di Desa Tunas Hijau malam tadi.

Mohd Rafi berkata sebanyak 30 ahli jawatankuasa Umno Labuan (termasuk 10 ahli dilantik) serta pemimpin daripada sayap Wanita, Puteri dan Pemuda mengangkat sumpah dan menandatangani surat itu kelmarin.

Mohd Rafi yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata mereka yang didapati melanggar mana-mana klausa yang ditetapkan dalam surat aku janji itu akan berdepan tindakan tatatertib.

“Mereka yang didapati tidak setia kepada parti akan berdepan tindakan seperti dibuang atau digantung keahlian untuk tempoh tertentu,” katanya.

Beliau berkata Umno Bahagian Labuan kini sedang menjalankan program pemutihan atau pembatalan pendaftaran bagi ahli yang menyertai parti lain sejak 2018.

“Kami mementingkan kualiti daripada kuantiti, tiada gunanya mempunyai ahli yang ramai tetapi mereka tidak dapat menyumbang dan tidak setia,” katanya.