Menteri Sumber Manusia V Sivakumar semalam hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi memberi keterangan susulan penahanan beberapa pegawainya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi Bernama.
“Ya, pihak SPRM telah meminta menteri (Sivakumar) untuk hadir ke SPRM bagi memberi keterangan,” katanya.
Sementara itu, seorang pembantu kepada Sivakumar berkata menteri berkenaan hadir di SPRM pada kira-kira 10 pagi dan meninggalkan bangunan tersebut kira-kira setengah jam kemudian.
Baru-baru ini, SPRM telah menahan dua pegawai kanan Sivakumar yang dipercayai mempunyai kaitan isu pengambilan pekerja asing.
Sivakumar juga dilaporkan berkata bahawa beliau sedia memberi kerjasama kepada agensi siasatan terutama SPRM berhubung penahanan pegawai dari pejabatnya.