Impian Clara Sonia Joseph untuk memiliki kerakyatan akhirnya menjadi realiti apabila permohonannya sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri hari ini, sebulan selepas kisahnya diceritakan kepada MalaysiaNow.
Clara telah menunggu selama bertahun-tahun untuk mendapatkan keputusan permohonannya itu.
Perkara itu disahkan oleh ibu angkatnya, Shamini Gopal Krishnan ketika dia berkongsi surat kelulusan itu kepada MalaysiaNow yang mana ia ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Ini bermakna, gadis remaja berusia 13 tahun itu kini boleh memiliki kad pengenalan dan menerima akses kemudahan pendidikan dan kesihatan seperti warga Malaysia lain.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan kisah sedih Clara apabila dia ditinggalkan ibu kandungnya yang pulang ke Indonesia selepas meletakkan gadis itu di bawah jagaan Shamini dan suaminya, Charles Joseph pada 2013.
Sejak itu, Shamini dan Charles berusaha mendapatkan kerakyatan Clara agar dia boleh hidup normal seperti kanak-kanak sebayanya.
Ketika menceritakan mengenai Clara, Shamini turut memaklumkan bahawa anak gadis itu adalah seorang yang bijak dan rajin, malah berjaya meraih keputusan akademik cemerlang.
Namun begitu, mereka bimbang akan masa depan Clara kerana semua pencapaian ini akan menjadi sia-sia sekiranya anaknya itu tidak mempunyai kerakyatan, sekali gus menghalang impian gadis itu untuk menjadi seorang doktor.
"Terima kasih kepada pasukan anda, dan terima kasih kepada sesiapa yang terlibat dalam perkara ini," katanya kepada MalaysiaNow.
"Kini KDN sudah meluluskan kewarganegaraan, jadi saya akan ambil (surat) ini dan bawa ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat kad pengenalannya."
Menurut Shamini, dia dimaklumkan permohonan itu diluluskan pada 7 April lalu sebelum dia diminta hadir ke KDN serta-merta.
Katanya, dia dibawa berjumpa dengan seorang pegawai sebelum diserahkan surat kelulusan itu.
"Saya pun tidak diberitahu mengapa perlu ke KDN. Kementerian itu minta saya datang jadi, saya pergi awal pagi tadi.
"Menteri tiada di situ, tetapi saya dimaklumkan bahawa beliau telah menandatangani surat itu pada 7 April," tambahnya.
Pada masa sama, Clara turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang prihatin terhadap situasinya.
"Saya ingin ucapkan terima kasih.
“Saya sudah dapat surat itu hari ini," katanya.