- Iklan -
Berita

Mydin rugi sekurang-kurangnya setengah juta akibat tambahan cuti Aidilfitri

Taikun rangkaian peruncitan, Ameer Ali Mydin berkata peniaga terpaksa menanggung kerugian akibat pengumuman kerajaan semalam.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Taikun rangkaian peruncitan, Ameer Ali Mydin bercakap dalam temu bual dengan Astro Awani.
Taikun rangkaian peruncitan, Ameer Ali Mydin bercakap dalam temu bual dengan Astro Awani.

Taikun rangkaian peruncitan, Ameer Ali Mydin mengkritik pengumuman secara tiba-tiba kerajaan mengenai cuti tambahan untuk Hari Raya Aidilfitri.

Beliau mendedahkan syarikatnya mengalami kerugian sekurang-kurangnya setengah juta akibat pengumuman itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

"Peniaga perlu menanggung kerugian. 

“Setengah juta itu kita boleh bagi beribu Menu Rahmah," katanya dalam wawancara bersama Astro Awani. 

Beliau merujuk kepada program yang diperkenalkan awal tahun ini yang mana perusahaan menjual makanan dengan harga RM5 kepada mereka yang ingin berjimat-cermat. 

Mydin antara syarikat yang terkedepan dalam menyahut seruan kerajaan kepada perusahaan swasta untuk mengadakan Menu Rahmah namun memberi amaran ia tidak akan bertahan lama jika harga bahan mentah kekal tinggi. 

Anwar semalam mengumumkan satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri. 

Cuti tambahan diberikan sama ada Jumaat atau Isnin, bergantung kepada penetapan tarikh hari raya. 

Selain itu, kerajaan akan memberi pengecualian bayaran tol di 33 lebuh raya selama empat hari pada 19 hingga 21 April dan 24 April ini.

Ameer yang merupakan pengarah urusan syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd berkata kerajaan tidak boleh menjadi populis semata-mata. 

Katanya, lebih baik memberikan subsidi bersasar dalam bentuk tunai kepada mereka yang memerlukan, berbanding mengumumkan pengecualian tol kepada semua pengguna tanpa mengira kelas pendapatan. 

"Bukan semua perlukan subsidi tol. Model kita ini tak betul," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.