- Iklan -
Berita

Sejak bila orang Melayu tidak raikan kaum lain, Mahathir soal Anwar

Bekas pemimpin itu menjawab perbandingan perdana menteri baru-baru ini mengenai majoriti Buddha Kemboja dan Melayu-Islam di Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berucap pada sidang media di Putrajaya, 28 Mac.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berucap pada sidang media di Putrajaya, 28 Mac.

Dr Mahathir Mohamad mengecam kenyataan Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menggesa orang Melayu supaya lebih bertolak ansur dengan masyarakat minoriti.

Beliau berkata gambaran perdana menteri terhadap orang Melayu sebagai angkuh bukan sahaja salah menurut sejarah tetapi juga menghina mereka. 

Mahathir berkata bukan sahaja ekonomi negara dikuasai orang bukan Melayu, tetapi kewujudan rumah ibadat dan binaan agama bukan Islam di seluruh negara di tengah-tengah kawasan majoriti Melayu menunjukkan bukti toleransi yang diamalkan oleh orang Melayu sejak berzaman lagi.

“Tokong-tokong besar yang dibina di merata tempat di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah merasa terancam. 

“Begitu juga patung-patung keagamaan yang besar terdiri di serata pelosok Tanah Melayu malahan di antara yang terbesar di dunia terdapat di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95%,” katanya dalam satu kenyataan.

Sekembalinya daripada lawatan rasmi ke Kemboja awal bulan ini, Anwar memuji toleransi kerajaan majoriti Buddha terhadap minoriti Islamnya, sambil memberikan contoh bagaimana Perdana Menteri Hun Sen menganjurkan majlis berbuka puasa untuk umat Islam.

"Kita kadang-kadang bila jadi majoriti, kita rasa terlalu selesa dan angkuh menganggap yang kita tidak boleh raikan kelompok-kelompok lain.

"Sementara kita menjaga kepentingan majoriti Melayu Islam di Malaysia, kita harus pastikan ada prinsip saling hormat-menghormati dan memberi hak kewarganegaraan kepada semua.

"Kalau di Kemboja kita nak orang Islam diraikan, masjid mereka tidak dirobohkan, hak mereka dipertahankan malah diangkat sebagai menteri, begitulah halnya untuk semua negara lain tanpa mengorbankan kepentingan kelompok majoriti," kata Anwar.

Mahathir berkata orang Melayu sudahpun menerima komuniti migran sebelum merdeka, dengan kira-kira satu juta diberi taraf kewarganegaraan dalam pada masa yang sama memberikan kebebasan kepada mereka mengamalkan budaya, bahasa dan pendidikan sendiri.

“Apabila negara capai kemerdekaan, mereka diberi hak mengundi dan wakil-wakil mereka dilantik menjadi menteri dan ke lain-lain jawatan tertinggi di dalam kerajaan.

“Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampurkan semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen serta lain-lain jawatan penting,” kata Mahathir.

Mahathir mengimbas kembali bagaimana beliau dikecam teruk oleh pengkritik pada masa lalu kerana menggelar orang Melayu "pemalas", sambil menambah l ia adalah untuk mengingatkan masyarakat bekerja keras supaya tidak hilang segala-galanya kepada bukan Melayu.

“Tetapi hari ini Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain sedangkan orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.

“Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh?” kata Mahathir, yang baru-baru ini menuduh Anwar menyekat kebebasan bersuara susulan pembatalan secara mengejut program "Proklamasi Melayu" anjuran beberapa kumpulan Melayu.