- Iklan -
Berita

Malaysia lancar siasatan sindiket penipuan pengambilan pekerja asing

Malaysia berdepan tuduhan menjadi tempat pengambilan buruh paksa dalam sektor pembuatan dan pengeluaran minyak sawit selama ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing di tapak pembinaan di Putrajaya.
Pekerja asing di tapak pembinaan di Putrajaya.

Malaysia melancarkan siasatan untuk mendedahkan bagaimana beratus-ratus pekerja asing yang tiba dari Asia Selatan tidak diberikan pekerjaan meskipun mereka telah membayar yuran yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan tersebut, kata pegawai dan kumpulan hak asasi manusia. 

Isu itu membangkitkan semula kebimbangan mengenai penderaan buruh di Malaysia, hab pembuatan utama di tengah-tengah rantaian bekalan global yang menghadapi beberapa tuduhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berhubung eksploitasi pekerja. 

Beratus-ratus pekerja dari Bangladesh dan Nepal tiba sejak Disember selepas membayar sehingga RM20,000 (AS$4,500) kepada orang tengah untuk mendapatkan pekerjaan, kata pegawai dua kumpulan hak asasi manusia yang menemu bual berpuluh-puluh pekerja memberitahu Reuters. 

Ramai yang mengambil pinjaman untuk membayar yuran pengambilan pekerja, tetapi tidak dapat membayar balik kerana tidak mempunyai pekerjaan atau gaji, kata aktivis itu sambil menambah bahawa ketika ketibaan, pasport mereka telah diambil oleh agensi pengambilan pekerja asing. 

"Pekerja ini berisiko tinggi untuk menjadi buruh paksa dan kemelaratan teruk," kata aktivis buruh bebas Andy Hall. Menurut Andy, pasukannya telah berhubung dengan beberapa pekerja asing itu.

Nasib mereka diburukkan lagi dengan faktor seperti hutang, keadaan hidup yang buruk, pengasingan dan kebebasan bergerak yang terhad selepas pasport mereka dirampas, tambahnya. 

Pertubuhan Buruh Antarabangsa menempatkan penipuan, bersama-sama dengan ikatan hutang yang berpunca daripada bayaran yuran pengambilan pekerja yang mahal, dan penahanan pasport antara punca mendorong “buruh paksa”.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Asri Ab Rahman berkata kerajaan sedang menyiasat perkara itu namun enggan memberikan butiran lanjut sehingga selesai siasatan. 

Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bertemu dengan sekumpulan 226 pekerja Bangladesh dan Nepal yang berada di negara Asia Tenggara selama 40 hari tanpa sebarangan pekerjaan yang dijanjikan. 

Beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai "mengerikan" disebabkan tempat tinggal pekerja yang sesak, dan berikrar untuk mendapatkan pekerjaan kepada merekan secepat mungkin meskipun belum dapat mengenal pasti penyedia kemudahan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.