- Iklan -
Berita

Polis kenal pasti lebih 50 ‘hotspot’, 11 ‘blackspot’ kemalangan di ibu negara

Antara kawasan hotspot yang dikenal pasti ialah Jalan Kuching, Jalan Loke Yew dan Jalan Cheras.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Trafik bergerak di sepanjang jalan utama di ibu kota Kuala Lumpur.
Trafik bergerak di sepanjang jalan utama di ibu kota Kuala Lumpur.

Polis mengenal pasti lebih 50 hotspot dan 11 blackspot (kawasan sering berlaku kemalangan) di seluruh ibu negara bagi menempatkan anggota trafik untuk mengawal kesesakan lalu lintas sempena Op Lancar dan Op elamat menjelang Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata antara kawasan hotspot yang dikenal pasti ialah Jalan Kuching, Jalan Loke Yew dan Jalan Cheras.

Beliau berkata fokus polis adalah untuk memastikan kelancaran pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Selain itu, pihak JSPT turut menempatkan anggota polis di bazar Ramadan terpilih di sekitar Kuala Lumpur sepanjang bulan puasa ini. Begitu juga anggota tugas am yang ditempatkan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta menuju utara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata JSPT Kuala Lumpur turut menempatkan anggota mereka di pusat beli belah bagi mengawal lalu lintas seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman, Bukit Bintang dan Pusat Beli Belah Kenanga. 

Setakat ini, Sarifudin berkata kesesakan lalu lintas menjelang Aidilfitri berjalan lancar dan terkawal.

Pada Selasa lepas, polis melaksanakan Op Lancar bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Selain itu, polis melancarkan Op Selamat bermula hari ini hingga 27 April yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dilapor berkata fokus Op Lancar adalah untuk memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri manakala Op Selamat adalah berfokus kepada meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.