- Iklan -
Berita

Propaganda kerajaan Anwar mirip kempen ‘1Malaysia’ era Najib, kata pemerhati

Pakar komunikasi berkata 'cara lama' ini mungkin menghalang kerajaan Anwar Ibrahim, terutama menjelang pilihan raya negeri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran slogan terbaru kerajaan iaitu Malaysia Madani di Putrajaya, 19 Januari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran slogan terbaru kerajaan iaitu Malaysia Madani di Putrajaya, 19 Januari. Gambar: Bernama

Pakar media dan pemerhati politik melihat kempen komunikasi dan visual yang dimainkan oleh kerajaan pentadbiran Anwar Ibrahim lebih mirip kepada bentuk kempen yang pernah dilakukan semasa pemerintahan Najib Razak melalui slogan popular, ”1 Malaysia”.

Profesor pengajian komunikasi dan media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abd Aziz Aizam berkata, kempen “Kerajaan Madani” yang dibawa Anwar untuk memberi persepsi baik terhadap jenama pentadbirannya juga tidak membawa sebarang keyakinan umum disebabkan faktor yang terserlah dari kempen era Najib.

“Malah istilah ‘madani’ tersebut masih lagi ramai yang tidak faham dan tidak jelas. 

“Ini kerana ianya boleh ditafsirkan berbentuk ‘outcome semasa’ bukan nampak kepada ‘the way forward’ iaitu aspirasi gerakan ke arah objektif kebaikan bersama, antara kerajaan dan juga rakyat tidak ditonjolkan di dalam tema jenama (Madani) ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Abd Aziz juga melihat kempen visual yang sedang dijalankan kerajaan campuran lebih menonjolkan individu atau personaliti Anwar sahaja dan bukannya mencerminkan sebuah pasukan secara kolektif atau barisan pentadbir yang berkualiti dalam usaha memacu reformasi negara.

Beliau bersetuju dengan perbandingan kaedah kempen Malaysia Madani juga masih terikat dengan kempen yang pernah dijalankan pada era pemerintahan  perdana menteri keempat Dr Mahathir Mohamad sekitar tahun 80-an hingga awal tahun 2000.

Ketika pentadbiran Mahathir, bentuk propaganda beliau di media pemilikan kerajaan dilihat sangat aktif mengeluarkan  kempen yang menyerlahkan elemen patriotisme dan perpaduan.

Antara yang paling tersohor adalah melalui nyanyian lagu seperti “Keranamu Malaysia”, “Sejahtera Malaysia” dan “Jalur Gemilang”.

Manakala, hampir keseluruhan tayangan montaj bagi lagu-lagu tersebut dibayangi imej dan wajah Mahathir.

Kini, kaedah yang sama dilihat sedang ditiru oleh Anwar melalui tayangan-tayangan video di RTM, stesen televisyen milik kerajaan Malaysia.

Menurut Abd Aziz, hal-hal seperti itu yang menjadi lompong kepada kempen kerajaan semasa terutamanya apabila seluruh rakyat sedang mengharapkan sesuatu perkara yang baru dan perubahan yang lebih berimpak kepada kehidupan mereka.

“Bukannya retorik semata-mata.”

Katanya, pengumuman Anwar sempena sambutan hari raya baru-baru ini mengenai imbuhan tunai kepada penjawat awam, tol percuma dan cuti umum adalah kempen biasa yang pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. 

“Jika dulu sebelum pemimpin pada hari ini mempunyai kuasa, mereka dilihat mempunyai segala macam formula.

“Namun selepas mendapat kuasa memerintah golongan masyarakat yang sedang susah masih lagi susah.” 

Sementara itu, seorang penganalisis politik menyifatkan mana-mana parti yang menjadi pemerintah sering kali tertimpa dengan “badi kerajaan” terdahulu. 

Anis Anwar Suhaimi dari O2 Research Malaysia berkata pendekatan dan strategi komunikasi politik oleh sesebuah parti sebagai pembangkang kepada kerajaan akan berubah 180 darjah. 

Ini disebabkan mereka akan terperangkap dalam kerangka kerajaan yang berstruktur dengan sifat yang kaku dan tidak dinamik. 

“Justeru, badi kerajaan yang menimpa kerajaan campuran ini memperlihatkan fokus mereka dalam ruang media perdana di mana domainnya boleh dikawal kerajaan. 

“Sementara pendekatan mereka di media sosial yang sifat platform lebih terbuka itu, mereka pula terlalu formal dan kaku penyampaiannya,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Ketika era pentadbiran Najib, slogan “1Malaysia” menjadi laungan hampir di setiap genap majlis dan upacara dikendalikan oleh jentera kerajaan termasuk siaran media arus perdana. 

Najib juga cuba mendapatkan sokongan dan perhatian anak muda melalui ciptaan lagu oleh kumpulan pemuzik anak muda. 

Kini, Anwar juga melakukan perkara yang sama dengan lagu tema “Malaysia Madani” oleh penyanyi dan pemuzik muda tersohor, kumpulan Bunkface. 

Ianya sudah diuji pada pemerintahan Najib, kempen itu tidak berjaya mendapatkan sokongan belia dan anak muda. 

Menurut Anis lagi, disebabkan elemen “keterikatan” kerajaan Anwar dengan templat lama sebegini mengakibatkan ianya sukar untuk meraih populariti dan mengolah sokongan rakyat terhadap mereka. 

“Dengan pendekatan yang tidak berubah ini, gerak kerja semasa melalui komunikasi dan propaganda kerajaan kurang efektif khususnya dalam berhadapan dengan pilihan raya negeri.” 

Dalam pada itu, Abd Aziz merasakan berkemungkinan besar Anwar dan ahli-ahli dalam kerajaannya masih belum jelas mengenai bentuk propaganda yang ingin dibawa dan apakah kepentingan yang perlu diutamakan. 

“Sungguhpun begitu, adalah perlu untuk melihat perkara ini secara adil. 

“Kepimpinan pada hari ini masih boleh dikatakan baru,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.