Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai agensi penguatkuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh kerana disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.
Menurut sumber kedua-dua pegawai lelaki dan wanita itu, ditahan pada 17 April lepas sebaik hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“SPRM ada mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka telah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Mereka direman tiga hari bermula 18 April selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa (18 April),” menurut sumber itu.
Selain itu, sumber tersebut memaklumkan lebih 20 akaun bank yang melibatkan individu dan syarikat berkaitan telah diambil tindakan pembekuan.
Sehingga hari ini, pembekuan akaun dan penyitaan harta alih/tak alih melibatkan penyitaan lapan bidang tanah dianggarkan bernilai kira-kira RM3.1 juta, menurut sumber itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Saya tidak menolak kemungkinan terdapat lagi beberapa tangkapan lain akan dibuat selepas ini. SPRM juga sedang mengesan seorang individu bernama Siti Liyana Sakijan untuk membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.