- Iklan -
Berita

Sinar Syawal di lorong Chow Kit

Ana dan anak-anaknya sudah berkali-kali berhari raya di lorong hitam itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ana memimpin tangan anaknya ketika beratur untuk mendapatkan sumbangan yang diagihkan di Jalan Chow Kit.
Ana memimpin tangan anaknya ketika beratur untuk mendapatkan sumbangan yang diagihkan di Jalan Chow Kit.

Keluarga Ana mengambil keputusan berhijrah dari Terengganu ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu selepas mendengar mengenai tawaran kerja yang diberitakan oleh seorang kawan.

Tiba di ibu kota, mereka menyewa di Chow Kit yang terkenal dengan reputasi hitamnya.

Selama seminggu, dia tidak sanggup keluar daripada bilik yang didiami kerana masih takut-takut.

Tawaran kerja yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Sejak hari itu, Chow Kit menjadi “taman permainan” anak-anaknya.

Ana dan suami mencari nafkah dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan tetapi suaminya mula terpengaruh dengan dadah dan berulang kali keluar masuk penjara.

Kini, sudah beberapa tahun Ana dan lima anaknya meraikan Syawal di Chow Kit.

"Ibu ada meminta saya balik ke kampung namun saya tidak terfikir hendak pulang.

"Saya masih teringat kata-kata keluarga apabila saya tinggal di sini," kata ibu kepada empat anak itu kepada MalaysiaNow.

Tidak mudah membesarkan anak-anak kecil dengan persekitaran sebegitu.

Malah, Ana yang berada pada pertengahan usia itu pernah dituduh melakukan kerja-kerja tidak bermoral di Chow Kit.

Ia membuatkan hatinya tawar untuk pulang ke kampung halaman.

Cerita Ana yang aktif membantu pertubuhan kebajikan mengedarkan bantuan di sekitar tempat itu, penduduk Chow Kit akan berkumpul kawasan pejalan kaki dan beramai-ramai meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Tahun lalu, mereka menerima wang sumbangan yang digunakan untuk membuat kenduri bagi merayakan hari besar itu sesama mereka. 

Pada bulan Ramadan, kawasan itu akan dipenuhi gelandangan dan miskin bandar yang beratur untuk mendapatkan makanan berbuka.

"Kami selalu menerima bantuan duit raya dan baju raya, adalah sedikit keseronokan untuk anak-anak," katanya.

Namun pada Syawal ini, Ana tidak akan merayakannya di Chow Kit.

Dia ingin membawa anak-anak ke Terengganu bukan untuk pulang bertemu keluarganya, tetapi untuk bertemu suami yang kini berada di pusat pemulihan.

"Saya sudah membeli tiket bas untuk ke sana.

"Anak saya yang paling kecil tidak pernah bersua muka dengan ayahnya," katanya.

Suaminya sedang menguruskan inap desa untuk didiami keluarga itu.

Dia dibenarkan keluar daripada pusat untuk beberapa jam sehari sebelum diminta pulang.

Menurut Ana, dia sudah serik dan mahu berubah demi masa depan keluarga mereka.

Kini, Ana hanya perlu menunggu pengumuman hari raya.

Segala persiapan sedang dilakukan olehnya untuk perjalanan itu. 

Bagi anak-anaknya, ia satu pengalaman yang bermakna apabila mereka pertama kali akan menempuh perjalanan jauh dalam suasana lebaran.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi