- Iklan -
Berita

Sambutan Aidilfitri di kampung dan bandar

Tidak kira di kampung mahupun di pusat bandar, kemeriahan Hari Raya Aidilfitri menjalar ke serata tempat.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengunjung mengambil bersama keluarga di hadapan replika besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diperbuat daripada ribuan pelita di Kampung Ribu, Kuala Lumpur.
Pengunjung mengambil bersama keluarga di hadapan replika besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diperbuat daripada ribuan pelita di Kampung Ribu, Kuala Lumpur.

Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam ketika Khairil membawa dua orang anaknya berumur tujuh dah 10 tahun melihat replika Masjid Wilayah Persekutuan di Kampung Ribu, Kuala Kangsar.

Anak beranak itu sedang melawat dan menyaksikan tradisi Pesta Panjut yang disambut oleh penduduk-penduduk kampung di negeri Perak sejak sekian lama.

Pelbagai jenis replika dibina oleh orang kampung di daerah itu secara bergotong-royong.

Sehingga kini, sambutan Pesta Panjut semakin dikenali dan disenaraikan dalam kalendar pelancongan Tahun Melawat Perak 2024.

Tahun ini, Khairil dan anak-anaknya datang dari Sungkai berkesempatan melawat sambutan itu dengan replika masjid disusun tinggi menggunakan buluh dan disusun menggunakan kira-kira 1,600 biji pelita minyak tanah.

Pada waktu malam, ketika pelita dinyalakan ianya menghasilkan suasana yang amat meriah kerana dikunjungi oleh orang ramai.

"Dah lama tak datang ke Kuala (Kangsar) tengok (Pesta) Panjut. Dulu zaman sekolah, zaman muda naik motor dengan kawan-kawan ke sini.

"Sekarang datang bawa keluarga. Bawa anak-anak pula," katanya yang kini menetap di Shah Alam, Selangor kepada MalaysiaNow.

Ketika ditemui, dia sekeluarga baru tiba dari Shah Alam dan terus ke Kampung Ribu sebelum berpatah balik ke Sungkai di daerah Tanjong Malim.

Seorang kanak-kanak lelaki leka bermain bunga api replika besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kampung Ribu di Kuala Kangsar yang diperbuat daripada ribuan pelita.
Seorang kanak-kanak lelaki leka bermain bunga api replika besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kampung Ribu di Kuala Kangsar yang diperbuat daripada ribuan pelita.

Tinjauan MalaysiaNow di Kampung Ribu pada malam Rabu baru-baru ini dapat merasakan kemeriahan sambutan hari raya Aidilfitri di kampung-kampung dalam daerah tersebut.

Rata-rata rumah kampung dengan laman yang luas dan sederhana dihias cantik dengan pelbagai jenis warna lampu dan puluhan batang kayu dipacakkan untuk memasang pelita.

Tidak kurang juga, kemeriahan suasana di kampung dengan suara kanak-kanak bermain bunga api dan mercun sambil diawasi oleh mereka yang lebih dewasa.

Selain itu, suasana di kampung juga meriah sekitar pukul 9.30 malam apabila ramai yang berjalan kaki balik dari surau-surau berdekatan selepas menunaikan solat terawih.

Kedai-kedai kopi di tepi-tepi jalan kampung juga mula dipenuhi motosikal golongan warga emas yang gemar menikmati teh tarik panas selepas seharian berpuasa.

Seorang penduduk di Kampung Ribu mahu dikenali sebagai Amy (perempuan) berkata kemeriahan sambutan Pesta Panjut lebih meriah tahun ini apabila lebih ramai perantau dilihat pulang ke kampung halaman.

"Banyak yang datang singgah ke sini bawa anak-anak main bunga api. Tapi ramai yang kita tak kenal. Mungkin orang dari daerah lain.

"Seronok jugalah. Sebab dah lama tak rasa meriah macam ni sejak pandemik Covid-19 hari itu," katanya sambil memerhatikan anak-anak saudaranya bermain di depan replika tersebut.

Lampu di bandar lebih terang

Sementara itu, lampu-lampu perhiasan, papan LED dan cahaya dari kenderaan yang memenuhi jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) masih terang benderang meskipun jam sudah melepas pukul 4.30 pagi.

Bagaikan satu tradisi, jalan TAR kekal menjadi lokasi tumpuan penduduk-penduduk di bandar untuk mendapatkan keperluan menjelang Aidilfitri.

Seperti mereka yang tinggal di kampung, mereka di bandar juga "sakan" bermain bunga api dan mercun di padang dan kawasan lapang.

Di Putrajaya, tapak berbuka puasa berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bertukar menjadi tenpat kanak-kanak bermain selepas ibu bapa selesai menunaikan solat terawih.

Selain bermain, ada juga yang menyambung menikmati juadah berbuka puasa yang belum habis beberapa jam sebelumnya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Zafran, seorang anggota kastam berkata anak-anaknya tidak dapat merasai pengalaman menyambut Aidilfitri seperti yang dialaminya ketika kecil di kampung.

Ribuan pengunjung memenuhi Bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman in Kuala Lumpur.
Ribuan pengunjung memenuhi Bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman in Kuala Lumpur.

Dengan keadaan mereka sekeluarga yang tinggal di tingkat lapan kuarters kerajaan menyebabkan aktiviti dan pergerakan anak-anaknya terbatas.

"Datang ke padang macam kat sini pun okay sebab ramai budak-budak lain yang bermain.

"Mereka boleh main bersama. Bila dah penat, terus balik dan tidur. Kita pun sama boleh berehat dan sambung kerja esok."

Di media sosial juga tidak kurang hebatnya apabila banyak pihak menjadi tular selepas berkongsikan visual dan foto perhiasan rumah masing-masing sempena sambutan hari lebaran.

Tidak mengira sama ada di Felda, taman perumahan atau rumah flat kos rendah masing-masing menunjukkan bakat yang tersendiri dalam menghias rumah.

Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang pengguna TikTok @AinaRosli berkata ayahnya menghabiskan kira-kira RM200 untuk membeli lampu perhiasan, batang kayu untuk pelita, dan beberapa alatan lain untuk menaikkan seri laman rumah mereka di Segamat, Johor.

"Raya cuma setahun sekali. Anak-anak dan cucu dia semua nak balik.

"Sebab tu dia sanggup keluar belanja dan kemas laman rumah. Tiap-tiap tahun dia begitu," katanya.