- Iklan -
Berita

Pesakit kanser di Sarawak diberi dokumen pengenalan sementara, kata JPN

Menurut JPN, Lina Samuel diberikan dokumen pengenalan sementara pada 13 April untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Gambar: Bernama
Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Gambar: Bernama

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11) pada 13 April lepas kepada Lina Samuel, yang dilaporkan meninggal dunia hari ini akibat kanser kolon, demikian menurut jabatan itu.

Mendiang sebelum ini dilaporkan oleh pihak media tidak mempunyai kad pengenalan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

JPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak jabatan itu telah bertemu dengan Lina sebelum ini dan membuka kertas siasatan bagi kes beliau.

"Atas dasar keprihatinan dan kebajikan mendiang, JPN telah mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11) pada 13 April 2023," menurut jabatan itu yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dalam kenyataan itu.

Laporan media sebelum ini menyebut MyKad Lina dirampas sewaktu beliau hendak menukar alamatnya bagi membolehkannya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas.

Menurut JPN, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan pada 12 April lepas memaklumkan bahawa mendiang tetap diberikan perkhidmatan rawatan sewajarnya di Hospital Miri secara berterusan tanpa sebarang prejudis walaupun semasa tempoh ketiadaan dokumen pengenalan diri.

JPN dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai persoalan atau masalah berkaitan hal pendaftaran sama ada urusan kelahiran, kad pengenalan, kematian, perkahwinan dan kewarganegaraan untuk hadir di mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi