- Iklan -
Berita

PN gesa kerajaan bersikap jujur perjelas isu batal takbir raya saat akhir

Pakatan pembangkang berkata alasan 'masalah teknikal' tidak boleh diterima.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Perikatan Nasional bersama pengerusinya Muhyiddin Yassin berkumpul untuk rakaman takbir raya gabungan itu di Kuala Lumpur, 21 April. Gambar: Facebook
Pemimpin Perikatan Nasional bersama pengerusinya Muhyiddin Yassin berkumpul untuk rakaman takbir raya gabungan itu di Kuala Lumpur, 21 April. Gambar: Facebook

Perikatan Nasional (PN) hari ini menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan stesen televisyen TV3 membatalkan slot takbir raya gabungan itu pada saat-saat akhir minggu lalu, menggesa pihak pengurusan serta kerajaan supaya bersikap jujur dalam isu ini.

Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata gabungan itu dimaklumkan menerusi e-mel lima minit sebelum siaran dijadualkan bahawa timbul “masalah teknikal”. 

“Meskipun berjanji akan memulangkan bayaran yang dibuat oleh PN sebelum itu, namun sebagai sebuah televisyen ternama dan veteran dalam dunia penyiaran negara, PN beranggapan insiden itu tidak harus berlaku sama sekali,” katanya sambil menambah alasan “masalah teknikal” tidak boleh diterima.

Takbir Raya Aidilfitri PN dijadualkan bersiaran pada 10.20 malam pada 21 April lalu.

Menyifatkan pembatalan itu sebagai keputusan tidak profesional dan melanggar kontrak, Takiyuddin berkata TV3 dan kementerian komunikasi dan digital yang diterajui Fahmi Fadzil harus tampil menafikan sebarang campur tangan politik untuk mensabotaj takbir raya pembangkang kepada rakyat.

“Integriti TV3 dan KKD sangat bergantung kepada kesediaannya untuk bersikap telus dan profesional, terutama dalam menghormati kontrak dan janji yang dibuat secara sah dan formal,” tambahnya.