Tengku Adnan tiba di kampung halaman pada malam 21 April lalu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ahli-ahli keluarga di kampung halamannya di Muar, Johor.
Selain rasa teruja untuk bertemu sanak saudara dan bergaya di pagi hari raya, pada masa sama hatinya turut bimbang dengan satu kebarangkalian yang bakal berlaku pada pagi Aidilfitri.
Tidak lain, topik dan soalan berhubung isu politik semasa yang ditanyakan oleh keluarga dan rakan-rakan sewaktu berbual sambil menikmati juadah raya.
Adnan berkata sudah bertahun lamanya dia berdepan dengan situasi tersebut apabila masing-masing berkumpul di meja makan sambil membuka balang kuih, sudah pasti topik politik menjadi pembuka bicara.
"Hanya sebab saya kerja kerajaan dan jadi pegawai tadbir diplomatik kementerian, mereka anggap saya tahu semuanya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Tambahnya, sebaik sahaja topik politik dibuka, semua yang berada di meja makan bertukar menjadi ghairah untuk bercakap dan memberi pandangan masing-masing.
"Walaupun kebanyakan yang mereka cakap tu salah dan tak tepat, mereka tak peduli pun.
“Asalkan mereka lepas gian bercakap politik," katanya sambil menambah pengalaman itu berlaku sekali lagi pada pagi pertama Syawal, 22 April lalu.
Kali ini kata Adnan, topik perbualan politik bersama ahli-ahli keluarganya lebih berfokus kepada kelemahan kerajaan menguruskan hal ekonomi sehingga mereka yang berada dalam kelompok elitis turut berasa tidak selesa dengan keadaan semasa.
"Mereka yang sudah berumur dan menghampiri usia bersara pun risau tentang kos sara hidup. Apatah lagi yang baru sahaja mula kerja.
"Mereka cakap kerajaan sekarang tiada ‘wow factor’ hanya formula lapuk yang juga langsung tidak berkesan bagi membantu rakyat."
Adnan menyifatkan topik-topik perbualan pada musim perayaan di Malaysia tidak sukar untuk diramal.
Tidak mengira faktor usia dan kaum, sentimen politik dan persepsi tentang parti politik sangat kuat dibincangkan.
"Orang muda cerita tentang isu kos sara hidup, orang tua cerita pasal ahli politik yang mereka sokong.
"Dua-dua tu dalam tema sama. Politik juga."
Tambahnya, begitu juga dengan kaum wanita yang dilihat lebih banyak diam tentang isu politik dan parti tanpa mengira musim perayaan, tetapi tanpa sedar mereka juga mengambil berat tentang apa yang berlaku.
Mengambil contoh perbualannya bersama ibu dan isteri, kedua-duanya meluahkan rasa tidak puas hati tentang harga barangan mentah menjelang hari raya selain isu takwim sekolah yang bermula lewat.
Baginya, meskipun tidak menyebut nama mana-mana pemimpin atau parti politik mereka sebenarnya sedang berpolitik kerana mengkritik polisi dan kelemahan kerajaan menguruskan negara.
Sementara itu di Terengganu, bekas wartawan mahu dikenali sebagai Ashraf pula melihat perbualan politik pada hari raya di rumahnya lebih berpusatkan tentang minat ahli-ahli keluarga kepada segelintir pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang dianggap berkaliber.
"Mereka pun cakap tak ada lah wow sangat kerajaan sekarang. Kemudian tahun ini memang terasa sangat bab ekonomi.
"Barang mahal dan sebagainya. Tapi mereka juga tak mahu berlaku perubahan kerajaan kerana masih terlalu awal untuk menghukum kerajaan Anwar Ibrahim," katanya kepada MalaysiaNow.
Topik politik di luar rumah
Sejak tiga tahun lalu, sambutan Aidilfitri di Malaysia menjadi suram akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan tersebut dengan sekatan merentas negeri dibuat.
Ketika itu semua rakyat Malaysia menyambut hari raya secara serba serbi sederhana di rumah dan dilarang keluar rumah untuk aktiviti sosial.
Ketika itu juga, media sosial menjadi tempat bagi rata-rata rakyat bercakap tentang cara mereka menyambut perayaan di rumah masing-masing.
Topik tentang pelitup muka dan vaksin menjadi bualan hangat pada sambutan Aidilfitri beberapa tahun lalu.
Bercakap kepada MalaysiaNow, Syakirin, pegawai perhubungan awam di sektor swasta berkata keluarganya pula selesa dengan membiarkan topik berkaitan politik dan lain-lain ditinggalkan di luar rumah sewaktu perayaan ini.
Menyambut raya di kampung halamannya di Perak, Syakirin berkata dia dan adik-beradiknya mahukan suasana raya tahun ini disambut dengan penuh bermakna apabila cerita tentang kekeluargaan dan perkembangan hidup masing-masing dikongsi sewaktu berkumpul bersama di kampung.
"Tapi tak ada halangan. Mereka masih boleh bercakap tentang politik di luar rumah sesama mereka sendiri.
"Cuma ketika bersama keluarga, kita sepatutnya lebih menghargai masa bersama kerana susah untuk berkumpul dalam suasana yang meriah dan ceria."
Atas sebab itu, dia sebagai anak sulung daripada enam beradik itu memberikan alternatif kepada ahli-ahli keluarganya seperti keluar ke kedai-kedai makan atau berkumpul di beranda rumah bagi berbincang tentang topik kegemaran masing-masing.
Dengan itu, Syakirin berkata suasana ceria dan penuh persefahaman antara ahli-ahli keluarga tidak terganggu oleh topik yang sensitif seperti politik dan persepsi yang boleh berbangkit daripada perbualan itu.