- Iklan -
Berita

Pemasangan kanvas berjaya elak berlaku runtuhan susulan

Ia berikutan berlaku hujan lebat di kawasan berkenaan petang semalam, yang berisiko menyebabkan berlaku runtuhan susulan sekiranya tindakan pantas itu tidak diambil.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai. Gambar: Bernama
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai. Gambar: Bernama

Langkah segera yang diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan memasang kanvas di lokasi tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, di Kuala Lumpur semalam berjaya mengelakkan kejadian tanah runtuh lebih serius.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata ia berikutan berlaku hujan lebat di kawasan berkenaan petang semalam, yang berisiko menyebabkan berlaku runtuhan susulan sekiranya tindakan pantas itu tidak diambil.

"Mujurlah selepas Jabatan Kerja Raya memasang kanvas semalam, walaupun tak sepenuhnya (meliputi kawasan runtuhan) kita dapati tiada sebarang pergerakan tanah atau hakisan lagi. Tiada sebarang runtuhan yang berlaku.

"…dan pagi ini kerja pemasangan kanvas akan disiapkan sebelum kerja pemasangan cerucuk besi dilakukan esok," katanya kepada pemberita di lokasi hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pelan jalan alternatif untuk masuk ke kawasan MACA yang diusulkan sebelum ini akan ditambah baik setelah mengambil kira faktor-faktor tertentu. 

"Mungkin ada sedikit alternatif terhadap jalan akses ke MACA yang saya nyatakan semalam. Mengikut perancangan asal, ia akan dibuat di sekitar gelanggang tenis berhampiran IIM, namun Ketua Pengarah JKR (Ahmad Redza Ghulam Rasool) maklumkan ia akan diubah sedikit untuk mengelakkan lebih banyak kerosakan di sana.

"Jalan alternatif ini untuk membolehkan kenderaan milik MACA dikeluarkan bagi kegunaan harian. Ia akan mula dibina setelah kerja pemasangan cerucuk besi siap sepenuhnya," katanya.

Beh turut mengulangi kenyataan bahawa kedua-dua bangunan (MACA dan IIM) tersebut setakat ini selamat untuk digunakan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.