- Iklan -
Berita

PLUS aktifkan laluan 'SmartLane', bantu lancarkan aliran trafik selepas cuti Aidilfitri

Ketika dikaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara waktu sebagai langkah menambah kapasiti laluan terbabit.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara aliran trafik dari Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke pusat bandar, 25 April. Gambar: Bernama
Pemandangan udara aliran trafik dari Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke pusat bandar, 25 April. Gambar: Bernama

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan ‘SmartLane’, iaitu pembukaan sementara lorong kecemasan di laluan-laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya bagi melancarkan aliran trafik berikutan berakhirnya cuti persekolahan dan cuti Hari Pekerja antara 29 April dan 1 Mei.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata SmartLane diaktifkan di dua laluan di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara iaitu antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban antara KM260.0 hingga KM263.1 (Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 (Arah Utara) sepanjang cuti perayaan ini.

Beliau berkata pelaksanaan SmartLane di dua laluan di wilayah selatan tersebut menerima maklum balas yang positif dan disambut baik oleh pengguna lebuh raya kerana inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesesakan.

“Ketika laluan ‘SmartLane’ ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.

“Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan ‘SmartLane’ diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain itu,  Zakaria berkata PLUS juga mengenal pasti lokasi lain bagi pengaktifan laluan SmartLane ini iaitu laluan Gua Tempurung - Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (Arah Utara), Slim River - Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (Arah Utara) dan Rawang - Sungai Buaya antara KM439.9 – KM435.5 (Arah Utara).

Bagaimanapun, pengaktifan laluan SmartLane di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan.

“Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti laluan ‘SmartLane’ melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik,” katanya.

SmartLane dilaksanakan PLUS dengan kerjasama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.