- Iklan -
Berita

7 paip bawah tanah di lokasi tanah runtuh bocor

Keadaan itu menyebabkan berlaku pengaliran air dalam kuantiti banyak dari paip yang dianggar berusia lebih 40 tahun hingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pandangan udara kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia. Gambar: Bernama
Pandangan udara kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia. Gambar: Bernama

Siasatan terperinci oleh Jabatan Kerja Raya di lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran pintu masuk Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) mendapati sekurang-kurangnya tujuh paip bawah tanah di kawasan itu mengalami kebocoran.

Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) Zulkipli Nasri berkata keadaan itu menyebabkan berlaku pengaliran air dalam kuantiti banyak dari paip yang dianggar berusia lebih 40 tahun hingga mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

"Kalau tengok dekat situ, bila berlaku runtuhan kita lihat banyak air yang keluar. Jadi saya rasa itu mungkin puncanya. Bagi mendapatkan butiran terperinci, penyiasatan akan dijalankan lebih lanjut.

“Indikator awal daripada MACA juga memaklumkan bil air mereka meningkat," katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed ke lokasi kejadian hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kementerian Kerja Raya Hasnol Zam Zam dan Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Idris Zaharudin. 

Semalam, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) di lokasi kejadian mendapati wujud kebocoran pada sistem perpaipan bekalan air di kawasan itu.

Kebocoran pada sistem perpaipan itu telah menyebabkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi seterusnya meningkatkan daya sisi kepada tembok penahan sedia ada daripada jenis contiguous micropile. 

Zulkapli juga berkata status sama ada bangunan akademi itu selamat untuk diduduki atau tidak hanya akan dapat ditentukan dalam tempoh tiga minggu lagi selepas JKR selesai melakukan penilaian terperinci.

"Buat masa ini, kita tidak benarkan petugas dan kakitangan MACA untuk bertugas di sini sehingga mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.