- Iklan -
Berita

‘Nasihat' Tok Mat tidak akan halang ahli Parlimen Umno tinggalkan kerajaan, kata penganalisis

Mereka berpendapat Umno akan semakin sukar untuk bergaul dengan parti yang berpegang kepada prinsip berbeza.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bersama pemimpin Majlis Tertinggi yang lain semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 11 Januari.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bersama pemimpin Majlis Tertinggi yang lain semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 11 Januari.

Usaha Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk memberi nasihat kepada segelintir suara dalam partinya dilihat tidak berjaya apabila keretakan mungkin tidak dapat dielakkan, kata penganalisis.

Penganalisis veteran politik Melayu, Ahmad Atory Hussain berkata Umno akan mendapati semakin sukar untuk bersama dengan parti yang berlainan prinsip, iaitu PKR dan DAP dalam kerajaan campuran. 

"Saya rasa masa akan tentukan Umno melalui sebahagian daripada ahli-ahli Parlimen akan menarik sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) dan mengisytihar sokongan kepada mana-mana parti lain di luar sana.

"Ucapan Tok Mat itu tidak ada makna yang boleh menaikkan semangat dan imej Umno, lemah lagi ada," kata bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada MalaysiaNow.

Menurut Atory, situasi Umno hari ini kelihatan sama seperti Bersatu pada 2020 apabila parti itu menarik diri daripada PH seterusnya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) ekoran perbezaan prinsip yang ketara dengan DAP.

Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat baru-baru ini berkata, Umno tidak boleh berlagak seperti dahulu kerana kedudukannya dalam kerajaan campuran ibarat menumpang kasih. 

Ini kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 30 kerusi berbanding 148 kerusi yang berjaya diperoleh kerajaan campuran selepas pilihan raya umum lepas. 

Isu utama yang memecahkan parti Melayu itu ialah soal pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak yang pernah memimpin Umno. 

Najib dilihat masih mempunyai pengaruh yang besar dalam Umno. 

Lembaga Pengampunan dijangka bersidang pada Jumaat bagi menentukan nasib bekas ahli Parlimen Pekan itu.

Beberapa ahli Parlimen kerajaan juga lantang bersuara mengkritik beberapa dasar kerajaan campuran antaranya bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong dan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob. 

Ia membawa kepada perang mulut antara pemimpin Umno-BN dan PH. 

Sementara pensyarah politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, ucapan Tok Mat merupakan satu keperluan kepada Umno berpijak di bumi nyata. 

"Umno tidak akan kemana-mana dengan sebarang kontroversi terutamanya dalam kerajaan campuran. 

"Umno masih tidak mengambil pengajaran yang terhidang kepada mereka untuk benar-benar selepas populariti parti jatuh mendadak sejak 2008," katanya.

Perangai itu dapat dilihat menghampiri enam pilihan raya negeri apabila Umno bermain tarik-tali berhubung pembahagian kerusi di kawasan-kawasan kritikal. 

Di Pulau Pinang, PH mahu mengekalkan status quo dan tidak memberikan kerusi yang dimenangi mereka kepada BN.

Umno pula meminta kerusi tambahan di Negeri Sembilan dan Selangor yang mana ia memerlukan perbincangan antara parti-parti komponen PH.

Mujibu berkata, ia sama seperti sikap Umno ketika era PN dan kerajaan “MoU” di bawah Ismail.

Dalam pada itu, Azmil Tayeb dari USM berkata PH akan dilihat hanya mewakili kepentingan orang bukan Melayu jika Umno menarik diri. 

"Ini disebabkan polarisasi politik berdasarkan kaum dan agama yang sangat ketara dalam PRU15 lalu," katanya. 

PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah bergantung kepada undi bukan Melayu. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gabungan itu memperoleh peratusan undi paling rendah, diikuti oleh BN. 

Sementara peratusan undi Melayu tertinggi diperoleh PN. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.