- Iklan -
Berita

Pengawal selia Indonesia pertahankan Indomie selepas laporan bahan dorong kanser

Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan Indonesia mengatakan produk itu memenuhi piawaian keselamatannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja menyusun paket mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial di rak sebuah pasar raya di Jakarta, Indonesia, 26 April. Gambar: Reuters
Seorang pekerja menyusun paket mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial di rak sebuah pasar raya di Jakarta, Indonesia, 26 April. Gambar: Reuters

Pengawal selia makanan Indonesia mempertahankan produk mi segera jenama Indomie yang popular di negara itu susulan ia ditarik balik di Taiwan dan Malaysia kerana kebimbangan berkaitan penemuan bahan pendorong kanser. 

Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan Indonesia (BPOM) berkata, mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial yang dijual di Indonesia adalah selamat untuk dimakan kerana memenuhi piawaian keselamatannya, lapor Reuters.

Ia menggesa Indofood CBP memastikan produknya tidak mengandungi paras etilena oksida yang tinggi.

Terdahulu, badan pemerhati pengguna Indonesia dan ahli Parlimen dalam Jawatankuasa Kesihatan Parlimen menggesa BPOM meneliti produk itu.

Etilena oksida ialah gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan sebagai racun perosak. 

Ia juga merupakan bahan aktif dalam detergen, tidak dibenarkan digunakan pada permukaan yang bersentuhan dengan makanan. 

Mi segera Indomie Perisa Ayam Spesial adalah salah satu daripada dua produk yang diarahkan Kementerian Kesihatan supaya ditarik balik secara sukarela awal minggu ini.

Produk lain adalah Mi Kari Putih Penang Ah Lai buatan Malaysia. 

Kementerian juga mengarahkan pemeriksaan ke atas produk Indomie di semua pintu masuk dan meminta Indofood memanggil semula produk tersebut.

Pegawai Kementerian Perdagangan Indonesia, Budi Santoso dipetik Reuters sebagai berkata, Indomie di Indonesia selamat.

Tambahnya, peraturan di Taiwan “sangat sensitif, berbeza dengan di negara itu”.