Fauziah sering kali menolak ajakan suami dan anak-anaknya untuk menikmati sarapan pagi di kedai mamak sekitar Kota Bharu, Kelantan.
Baginya, tiada yang menarik dengan juadah yang disediakan oleh restoran-restoran India Muslim itu jika dibandingkan dengan juadah tradisi orang Melayu di Kelantan.
Berbeza dengan negeri-negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Fauziah berkata negeri kelahirannya itu mempunyai budaya tersendiri khususnya melibatkan makanan.
Di Kelantan, masyarakat gemar menikmati makanan yang berat atau jumlah kalori yang tinggi bermula dari sarapan lagi.
Sebagai contoh, nasi kerabu, nasi berlauk ikan atau ayam ataupun paling biasa ditemui bubur nasi yang dikenali sebagai nasi air.
"Orang luar selalu makan benda ringan seperti roti bakar, roti canai atau paling berat seperti nasi lemak.
"Di sini budaya makanan orang-orangnya lain.
“Sebab itu kedai mamak tak penuh macam kedai-kedai orang tempatan," katanya kepada MalaysiaNow.
Tinjauan MalaysiaNow sebelum Ramadan baru-baru ini mendapati bilangan kedai mamak di daerah Kota Bharu amat memuaskan dengan lebih 10 restoran dibuka dalam daerah itu.
Manakala beberapa restoran dikenali menjual "specialty" masing-masing termasuk nasi kandar, tosai dan ayam tandori.
Di Jalan Kebun Sultan, restoran Nasi Kandar KB menjadi kegemaran penduduk setempat untuk menikmati menu tersebut dengan ramai pengunjung setiap hari.
Bagaimanapun, berbeza dengan kedai-kedai mamak yang lain didapati sambutan kurang memuaskan.
Permainan persepsi?
Lawatan MalaysiaNow ke sebuah restoran berdekatan Jalan Pengkalan Chepa mendapati hanya dua meja dipenuhi pelanggan meskipun ketika itu waktu kemuncak makan tengah hari.
Di sana, sekumpulan ahli keluarga kaum India sedang menjamah nasi beriani ayam sambil berbual dalam bahasa Tamil diselangi beberapa perkataan dalam bahasa Kelantan.
Ketika disapa, salah seorang mereka memberitahu kedai mamak di Kelantan kebiasaannya hanya dikunjungi oleh kelompok kecil kaum India yang menetap di negeri itu.
"Selera kita juga beza-beza. Ada hari makan nasi di kedai mamak atau makan nasi di kedai orang Melayu.
"Tapi banyak kali yang saya dengar orang di sini tak makan kedai mamak sebab mereka fikir kotor," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah persepsi itu masih kuat dalam kalangan penduduk tempatan.
Dia berkata, masih ramai orang Melayu Kelantan yang keliru dengan konsep kedai mamak dan kedai India.
"Kedai mamak kita tahu orang India Muslim masak tapi kedai India mereka biasa bukan Islam.
“Tapi masak nasi, roti dan ayam sama juga macam kedai mamak."
Apabila kekeliruan itu tidak dijelaskan dengan baik, katanya, menjadikan orang ramai terus menjauhkan diri daripada kedai-kedai mamak dan restoran makanan India.
Cara masakan ala Thailand
Sementara itu, kakak sulung Fauziah mahu dikenali sebagai Noriah seorang pengusaha makanan dan menyediakan ketering di Pasir Mas tidak bersetuju dengan andaian bahawa orang Kelantan mempunyai persepsi buruk terhadap kedai mamak.
Katanya, sebab utama yang menyebabkan orang Kelantan tidak "melekat" ke restoran berkenaan disebabkan dua faktor.
Pertama, menu-menu yang disediakan oleh kedai mamak sudah lama dibawa masuk oleh pengusaha kedai makan Thailand yang menjalankan perniagaan di Kelantan.
Katanya, ini contoh paling ketara apabila pelanggan berkunjung ke restoran orang Thailand di Kelantan, mereka juga boleh mendapati menu yang sama.
Antaranya, roti canai, nasi lemak ayam berempah, roti bom, roti sardin, mee goreng, maggi goreng dan sebagainya.
"Tapi mereka buat cara Thai. Di Kelantan ni orang makan roti canai dengan kuah dal manis atau susu pekat.
"Mereka makan mee goreng basah ala Thai. Sebab orang-orang Thailand yang jual makanan di sini bawa masuk menu-menu ini lebih awal.
"Sebelum orang Kelantan kenal kedai mamak. Jadi, bila kedai mamak datang, selera mereka memang tak sama sebab dah terbiasa masakan ala Thai," katanya sambil menambah hanya orang Kelantan yang menetap di luar negeri gemar menikmati masakan ala mamak yang asli.
Faktor kedua, Noriah menyifatkan kedua-dua restoran mamak dan makanan Thailand menyediakan konsep restoran yang sama iaitu servis "one stop centre" di mana pelanggan yang datang boleh menikmati semua jenis masakan di tempat yang sama.
Ini termasuklah makanan ringan, makanan berat, minuman, manisan dan juga makanan barat.
Seperti di restoran mamak, kedai-kedai tomyam di Kelantan juga meniru konsep yang sama.
"Ada juga kedai tomyam yang jual sisha sekarang. Sebab tiru kedai mamak.
"Nampak hasilnya sebab ramai budak-budak muda melepak dan makan di situ."
Mengulas lanjut, Noriah bersetuju dengan Fauziah mengatakan budaya makanan di Kelantan sukar terhakis menyebabkan penduduk setempat kekal memilih makanan tradisi hampir setiap masa tidak kita musim dan waktu makan.
Katanya, perkara itu juga menjadikan Kelantan dikenali sebagai "syurga makanan" apabila banyak menu-menu istimewa yang payah dijumpai di negeri lain melainkan apabila melancong di negeri tersebut.
"Anda boleh cari kuih akok di Kuala Lumpur tapi tak sama akok di Kelantan.
"Macam tu jugalah makanan lain. Orang Kelantan sahaja yang faham."