- Iklan -
Berita

Saya juga mohon maaf, kata Khalid selepas Umno ‘marah’ kenyataan berhubung pengampunan Najib

Ini berlaku selepas pemimpin tertinggi Amanah menjauhkan diri daripada gesaannya untuk menolak pengampunan bagi bekas perdana menteri yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad. Gambar: Bernama
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad. Gambar: Bernama

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata beliau juga memohon maaf kepada Umno susulan kemarahan parti Melayu itu atas gesaannya untuk tidak memberikan pengampunan diraja kepada pemimpin yang dipenjarakan Najib Razak.

“Saya setuju dan terima baik kenyataan Salahuddin Ayub kerana memang saya tidak berniat untuk menyinggung atau pun melukakan Umno. 

“Saya juga telah meminta maaf atas perkara itu,” kata Khalid dalam mesej ringkas kepada MalaysiaNow.

Beliau bagaimanapun menambah bahawa permohonan maafnya adalah “atas pendirian berbeza”.

“Lebih penting untuk ‘move on’ dan tumpu pada PRN yang menjelang,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub memohon maaf secara terbuka kepada Umno berhubung kenyataan Khalid itu.

“Kadang-kadang kita terlanjur dan tak ada malunya untuk kita mohon maaf sekiranya melukakan dan harap isu ini dapat diselesaikan dan saya sendiri bersama dengan presiden Umno dan sebentar tadi pun saya berkunjung timbalan presiden Umno menyatakan perkara yang sama,” kata Salahuddin dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.

Khalid mempertahankan kritikannya terhadap tindakan Umno untuk berkempen bagi membebaskan Najib dengan memohon pengampunan diraja daripada Agong, sambil berkata ia bukan pendapat peribadinya tetapi pendirian parti. 

Tetapi ini kemudiannya dipertikaikan oleh presidennya, Mohamad Sabu yang berkata kenyataan bekas ahli Parlimen Shah Alam itu adalah pandangan peribadinya. 

Khalid antara lain berkata bahawa pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej negatif kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia mengenai sikap Malaysia terhadap rasuah dan salah guna kuasa. 

Kenyataan itu mendapat reaksi negatif dalam kalangan pemimpin Umno, termasuk Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi yang membidas Amanah sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan campuran sekarang. 

Ia juga mendorong Umno Kelantan, yang bersedia menjadi sekutu dengan Amanah dalam usaha mereka menawan negeri dikuasai PAS itu pada PRN akan datang, untuk menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Khalid.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.