Permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk mendapat pengampunan akan dipertimbangkan pada masa sesuai, kata Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) JPM Khairul Dzaimee Daud berkata mesyuarat Lembaga Pengampunan Jumaat lalu mempertimbangkan sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.
“Kertas rayuan pengampunan Najib Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.
“Sebaliknya akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan permohonan Najib tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan baru-baru ini.
Katanya, permohonan pengampunan diraja yang dikemukakan Umno bagi bekas perdana menteri yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun itu akan dipertimbangkan bila tiba masanya.
“Seperti yang pernah saya katakan, setiap individu yang disabitkan kesalahan atau banduan berhak membuat rayuan.
“Kita telah mempertimbangkan untuk menyemak atas dasar ihsan, secara profesional dan tanpa prejudis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan campuran bersama Barisan Nasional (BN) membantah permohonan pengampunan diraja untuk Najib.
Ini termasuk parti berasaskan belia, Muda dan Amanah.
Muda berkata sebarang permohonan pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri Najib harus ditolak.
“Ini merupakan pendirian rasmi parti yang membantah sebarang gerakan untuk menyelamatkan mana-mana kleptokrat yang telah menyusahkan dan menggadai negara,” kata Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, bekas ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej negatif kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia tentang sikap Malaysia terhadap rasuah serta salah guna kuasa.
“Apakah memberikan pengampunan kepada orang yang telah memalukan negara di serata dunia akan menunjukkan sikap tegas dan tiada kompromi kita terhadap rasuah? Sudah pasti tidak.
“Sebaliknya ianya akan memberikan isyarat salah bahawa perang rasuah hanya cogan kata kosong untuk kepentingan politik dan akhirnya semua akan kembali seperti biasa,” katanya.
Kenyataan Khalid itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan Umno, dengan Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi melabelkan Amanah sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan sekarang.
Umno Kelantan yang akan bekerjasama dengan Amanah dalam usaha mereka menawan negeri yang dikuasai PAS itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, turut menuntut permohonan maaf daripada Khalid, yang kemudiannya berkata beliau sudah berbuat demikian.
Khalid menambah bahawa permohonan maafnya adalah “atas pendirian berbeza”.
“Lebih penting untuk ‘move on’ dan tumpu pada PRN yang menjelang,” katanya.
Permohonan maaf Khalid hadir susulan kenyataan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan presidennya Mohamad Sabu yang menyifatkan kenyataan pengarah komunikasi parti itu sebagai pandangan peribadi.