- Iklan -
Berita

Ahli politik mohon pengampunan jadi trend baru di Malaysia?

Rafique Rashid menyuarakan kebimbangan terhadap usaha Umno mendapatkan pengampunan diraja bagi bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Seorang peguam mengatakan permohonan pengampunan diraja yang oleh ahli-ahli politik seakan menjadi trend terbaru, menyifatkannya sebagai satu keadaan yang amat kritikal sedang berlaku dalam sistem perundangan di Malaysia. 

Rafique Rashid menimbulkan persoalan tentang bagaimana terlalu mudah sekali bagi para penganalisis politik tempatan bercakap tentang pengampunan diraja dengan hujah untuk memperkukuh kerajaan semasa. 

Soalnya, bagaimana begitu mudah rakyat Malaysia dipermainkan dengan isu politik dan personaliti tertentu sehingga mengenepikan perkara undang-undang dan sistem kehakiman negara. 

"Malaysia ini dah tak ada rasa malu ke? 

"Kini, seolah-olah melakukan jenayah asalkan anda terkenal dan ahli politik kita boleh terima. 

"Walaupun melakukan jenayah. Sedangkan jenayah itu adalah penyelewengan, salah guna kuasa, wang rakyat dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas timbul cakap-cakap bahawa Lembaga Pengampunan Diraja dalam proses membincangkan pengampunan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani 12 tahun hukuman penjara. 

Pada 31 Mac, sidang lima hakim di Mahkamah Persekutuan secara majoriti menolak permohonan Najib meminta pensabitan dan hukumannya disemak semula.

Mengulas lanjut, Rafique turut menyuarakan kebimbangan trend tersebut kemudian hari akan mencetuskan satu bentuk normalisasi dalam kalangan ahli politik yang disabitkan kesalahan jenayah. 

"Adakah kita (akan) sampai ke tahap itu?" 

Dalam pada itu, peguam Haniff Khatri membangkitkan isu ini berupaya menimbulkan kebimbangan sama ada pengampunan diraja di bawah bidang kuasa mutlak Agong melibatkan pengampunan hukuman dan juga pengampunan sabitan.   

Persoalan ini katanya berkait rapat dengan usaha memohon pengampunan diraja Najib di mana adakah beliau boleh membuat permohonan pengampunan hukuman tetapi juga sabitan.

“Sebab apa, kalau kita ingat Anwar Ibrahim, dia satu negara dia jaja bahawa pada 16 Mei (2018) bukan sahaja hukumannya diampunkan tetapi sabitannya diampunkan.

”Seolah-olah tidak ada lagi rekod jenayahnya," katanya merujuk kepada pengampunan diraja Anwar pada Mei 2018 selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Haniff, persoalan tentang memberikan pengampunan hukuman bukan lagi isu kerana ianya sudah jelas menjadi kuasa mutlak dan budi bicara Agong.

“Tetapi, bolehkah Agong batalkan sabitan iaitu penemuan kebersalahan oleh mahkamah? Itulah isu dia pada masa pengampunan diraja Anwar muncul.”

Ini kerana katanya, di dalam dokumen Anwar tidak disebut mengenai pengampunan sabitan tapi kalau dalam dokumen Najib tiba-tiba ada pembatalan sabitan mungkin ianya akan dicabar lagi oleh sesiapa.

“Dan masa itu mahkamah kena buat keputusan sebab masa kes Anwar, mahkamah tidak buat keputusan. Sebab mahkamah mendapati tiada pengampunan sabitan.

“Inilah perkara yang menarik sebab bila Perlembagaan dan undang-undang dipermain-mainkan, dia akan datang balik menghantui orang yang mempermain-mainkannya.”

Sebelum ini, Haniff mengetuai anak guamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mencabar kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Anwar pada 2018.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusan sebulat suara, menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu selepas mendapati perkara itu kini bersifat akademik. 

Atas nasihat Lembaga Pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Maimun berkata, mahkamah tertinggi itu mendapati tiada asas untuk mencadangkan sebarang salah nyata dalam nasihat yang ditawarkan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.