- Iklan -
Berita

Ambillah tindakan, pendirian kami tak berubah, kata Pemuda Umno kepada Dong Zong

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata pendiriannya tidak akan berubah meskipun kerajaan akan mengambil tindakan terhadapnya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh. Gambar: Bernama
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh. Gambar: Bernama

Pendirian berhubung isu pemberian dana kepada sekolah persendirian Cina tetap tidak berubah walaupun Dong Zong menggesa kerajaan mengambil tindakan, kata Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh susulan pertikaian jumlah dana tersebut. 

Akmal berkata, tindakan Pemuda Umno yang mempersoalkan jumlah RM15.7 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina bukan isu politik. 

"Jika Dong Zong bercakap soal hak, kami pun bercakap soal hak,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Ambillan tindakan pada saya kerana pendirian saya tidak akan berubah terhadap isu ini.”

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan, Presiden Dong Zong Selangor dan Kuala Lumpur Chua Kim Boon yang menuduh Akmal menggunakan isu itu untuk kelangsungan politiknya.

Chua berkata kerajaan hari ini perlu mengambil tindakan tegas untuk membendung atau menghentikan semua kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Akmal.

Namun menurut Akmal, tiada siapa boleh menghentikan Pemuda Umno daripada membawa suara rakyat, tanpa mengira blok mana yang menjadi kerajaan. 

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, Dong Zong tidak memerlukan bantuan kerajaan kerana berjaya mengumpul RM360 juta dalam bentuk yuran persekolahan bagi sekolah-sekolah mereka. 

"Ini satu jumlah yang besar dan tidak perlukan lagi peruntukan dari kerajaan. 

"Sedangkan bagi sekolah institusi agama, hendak kumpul RM100,000 pun susah," katanya. 

Ditanya mengenai hubungan antara parti-parti dalam kerajaan susulan kenyataan beliau, Akmal berkata ia akan tetap tersemai dengan baik jika kesemua pihak saling menghormati pandangan satu sama lain. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.