Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3%.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata kadar siling dan lantai OPR akan turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25% dan 2.75%.
Untuk rekod OPR diturunkan kepada 1.75% selepas bermulanya Covid-19 di Malaysia pada awal 2020.
Tahun lalu, ia dinaikkan sebanyak empat kali dengan kumulatif 100 mata asas kepada 2.75%, masih di bawah kadar praCovid sebanyak 3.25% yang dilihat pada Mac 2019.
Pakar ekonomi menjangkakan BNM akan terus meningkatkan kadar OPR kepada sekurang-kurangnya 3.00% tahun ini, sejajar dengan prestasi ekonomi yang semakin kukuh.
BNM dalam kenyataannya berkata ekonomi global terus didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, dan pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Bagaimanapun, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos yang tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.
“Inflasi keseluruhan terus menurun namun inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat,” tambah BNM.
Menurut BNM, di Malaysia perkembangan terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi berkembang selanjutnya pada suku pertama tahun 2023 selepas mencatatkan prestasi kukuh pada tahun 2022.
“Meskipun eksport dijangka menjadi sederhana, pertumbuhan pada tahun 2023 akan didorong oleh permintaan dalam negeri.
“Perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang lebih baik memandangkan pengangguran terus menurun ke tahap sebelum pandemik.
Menurut bank pusat itu, ketibaan pelancong yang meningkat dijangka menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan manakala projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan.
“Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan tanpa tanda-tanda pengetatan berlebihan yang mempengaruhi aktiviti penggunaan dan pelaburan,” kata BNM.
Menurut BNM, risiko prospek pertumbuhan dalam negeri secara relatif seimbang dengan risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada faktor-faktor dalam negeri seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh serta pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.
“Manakala risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu,” tambahnya.
Katanya, inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun.
“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8% hingga 3.8%.
“Bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh. Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian daripada tekanan inflasi yang meningkat.
“Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri termasuk mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan pasaran kewangan serta harga komoditi global,” tambah BNM.