- Iklan -
Berita

PAS sokong ‘Proklamasi Orang Melayu’ anjuran Mahathir

Beberapa keping gambar tersebar di Facebook menunjukkan pimpinan tertinggi PAS termasuk presidennya Abdul Hadi Awang bersama Mahathir berada di kediaman bekas perdana menteri itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ yang dilancarkan Dr Mahathir Mohamad. Gambar: Facebook
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ yang dilancarkan Dr Mahathir Mohamad. Gambar: Facebook

Pemimpin tertinggi PAS hari ini memberi sokongan kepada Proklamasi Orang Melayu yang dilancarkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad beberapa bulan lepas, dalam satu langkah yang menyemarakkan spekulasi mengenai penggabungan kumpulan politik Melayu untuk memberikan cabaran paling kuat terhadap kerajaan Anwar Ibrahim sejak pilihan raya tahun lalu.

Beberapa keping gambar dikongsi oleh pegawai Mahathir, Abu Bakar Yahya di laman Facebooknya menunjukkan pimpinan tertinggi PAS termasuk presidennya Abdul Hadi Awang bersama-sama bekas perdana menteri itu di kediaman Mahathir.

Hadi dilihat ditemani menteri besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar Ahli Parlimen Kota Bharu Takyudfin Hassan, masing-masing memegang dokumen Proklamasi Melayu yang ditandatangani. 

Langkah itu dibuat ketika khabar angin bertiup kencang mengenai kejatuhan kerajaan enam bulan Anwar yang dibentuk atas sokongan musuh ketat Umno dan GPS susulan Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Anwar sejak itu menepis spekulasi mengenai rancangan untuk menjatuhkan kerajaannya, dan menyatakan keyakinan bersandarkan sokongan padu daripada pelbagai gabungan itu. 

Sumber dalaman PAS memberitahu MalaysiaNow tandatangan Hadi pada dokumen itu penting kerana "ketika ini mewakili kuasa politik Melayu Islam yang terbesar".

"Kalau bab agama dan topik berkisar teologikal, Tun (Mahathir) dan Tuan Guru (Hadi) tak pernah pun sehaluan. 

“Maka dengan kesudian pemimpin besar PAS itu untuk menyokong prokmalasi itu telah memadamkan perbezaan yang bertahun-tahun lama," kata sumber yang rapat dengan pemimpin tertinggi parti Islam itu.

Pada PRU15, PAS, yang bergabung dengan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) secara bersendirian memenangi 49 kerusi Parlimen, terbanyak dalam kalangan parti politik.

Sementara itu, Laman Facebook “Proklamasi Orang Melayu” turut menyiarkan video respons ringkas Hadi terhadap perkembangan terbaru itu.

Katanya, ia selari dengan prinsip Islam yang memerlukan tonggak kekuatan bangsa.

Proklamasi itu dilancar oleh Mahathir beberapa bulan selepas Anwar, yang juga seteru politik beliau, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10.

Ia bertujuan menyatukan orang Melayu yang dilihat berpecah kepada beberapa blok politik.

Bagaimanapun, pelancaran proklamasi itu dibatalkan sebanyak dua kali pada Mac selepas pembatalan lokasi penganjuran.

Mahathir sebelum ini keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air yang diasaskan bersama anaknya Mukhriz Mahathir.

Beliau kini penasihat Putra.

Menurut Mahathir yang juga bekas ahli Parlimen Langkawi itu, orang Melayu ditekan di bawah pentadbiran Anwar, dan berpandangan kerajaan perlu ditukar.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.