- Iklan -
Berita

Penumpang kesal sikap ambil mudah AirAsia berhubung isu keselamatan

Mereka bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia dan akan membuat aduan kepada Mavcom dalam masa terdekat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pesawat AirAsia berada di ruang pelepasan bagi menjalani pemeriksaan akhir sebelum berlepas ke destinasi di klia2 di Sepang.
Pesawat AirAsia berada di ruang pelepasan bagi menjalani pemeriksaan akhir sebelum berlepas ke destinasi di klia2 di Sepang.

Beberapa penumpang AirAsia meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa syarikat penerbangan tambang murah itu seolah-olah mengambil mudah isu keselamatan membabitkan pesawatnya baru-baru ini.

Mewakili kumpulan penumpang itu, Ng Yih Min atau lebih dikenali sebagai Brian Ng, berkata insiden berlaku pada 1 Mei lalu, ketika mereka menaiki pesawat AK117 yang sepatutnya berlepas dari Guangzhou, China ke Kuala Lumpur.

Menurut Ng, penumpang dimaklumkan bahawa pesawat itu perlu berpatah balik ke Guangzhou kira-kira 30 minit selepas ia berlepas susulan terdapat isu teknikal membabitkan masalah tekanan udara.

Katanya, sebelum pesawat itu mendarat, ia terpaksa berlegar di ruang udara China selama hampir dua jam bagi membakar minyak sebelum mendarat pada jam 1.30 pagi.

"Saya bertanya lanjut kepada kru dan mereka menerangkan bahawa sekiranya pesawat ini terbang melepasi ketinggian tertentu, kami mungkin akan berdepan beberapa isu seperti kekurangan oksigen," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hari ini.

"Kami mungkin akan pengsan jadi situasi ini sangat bahaya."

Menceritakan lanjut, Ng berkata, mereka kemudian dibawa ke sebuah hotel pada jam 3.30 pagi untuk berehat sebelum beberapa penumpang menerima mesej daripada AirAsia yang memaklumkan bahawa penerbangan pulang akan berlepas pada jam 9.45 pagi.

Bagaimanapun, penumpang kemudian terkejut apabila diberitahu bahawa mereka bakal menaiki pesawat yang sama.

Ng berkata, situasi ini menimbulkan kemarahan penumpang di situ ketika mereka sebelum ini dijanjikan untuk menaiki pesawat lain.

"Sudah tentu kami tidak akan naik pesawat sama sebab kami tidak percayakan keselamatan pesawat itu.

"Jika ini bukan satu isu, mengapa pula ia perlu berpatah balik dan berlegar di udara hampir dua jam sebelum mendarat.

"AirAsia tidak memaklumkan kepada kami secara rasmi apa yang sebenarnya berlaku, malah kami diugut sekiranya tidak menaiki pesawat itu. Ia akan berlepas dan mereka tidak akan tanggung apa-apa," kata Ng sambil menambah perkara itu dimaklumkan kepada mereka dalam bahasa Mandarin.

Susulan itu, mereka pulang kembali ke hotel dan dimaklumkan bagasi akan dihantar ke hotel tersebut.

Brian Ng, salah seorang penumpang pesawat AirAsia AK117 dari Guangzhou ke Kuala Lumpur bercakap kepada pemberita di balai ketibaan KLIA2 berhubung isu penerbangannya, 3 Mei.
Brian Ng, salah seorang penumpang pesawat AirAsia AK117 dari Guangzhou ke Kuala Lumpur bercakap kepada pemberita di balai ketibaan KLIA2 berhubung isu penerbangannya, 3 Mei.

Bagaimanapun, mereka sekali lagi terkejut apabila mendapat tahu bahawa bagasi mereka telah dihantar terus pulang ke Kuala Lumpur.

"Disebabkan situasi ini, kami tiada pilihan dan membeli tiket penerbangan baru dan terus pulang ke Malaysia menaiki pesawat lain.

"Malah, pakaian yang kami pakai ini dibeli malam tadi kerana kami tinggal sehelai sepinggang apabila semua bagasi kami telah dihantar terlebih dahulu," ujarnya kecewa.

Mengulas lanjut, Ng menegaskan bahawa kumpulan penumpang itu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia.

Katanya, mereka juga akan membuat  aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan (Mavcom) dalam masa terdekat.

"Kami sangat kecewa dengan maklum balas AirAsia yang disiarkan dalam akhbar Oriental Daily apabila mereka mengatakan bahawa ini adalah normal dan bukan masalah besar.

"Kami ada banyak bukti untuk menunjukkan dakwaan yang disiarkan dalam akhbar itu tidak betul, malah salah satu bukti yang kami terima ialah seorang penumpang hanya diberi bayaran balik berjumlah 2 renminbi iaitu bersamaan kurang 1 dolar," tambahnya.

Dalam pada itu, Ng berkata, beliau juga sudah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan berhubung isu ini tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.