- Iklan -
Berita

‘Mana kami nak pergi?’, penduduk Kampung Koskan Tambahan putus harapan

Penduduk Kampung Koskan Tambahan berkata mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi ketika satu lagi tarikh pengusiran semakin hampir.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Dua penduduk melihat jentolak merobohkan rumah secara berperingkat sewaktu proses pengambilan tanah Kampung Koskan Tambahan dari penduduk kampung di Serendah, Rawang, 3 Mei.
Dua penduduk melihat jentolak merobohkan rumah secara berperingkat sewaktu proses pengambilan tanah Kampung Koskan Tambahan dari penduduk kampung di Serendah, Rawang, 3 Mei.

Wahidatul Ifa Daud sedang sibuk mengambil anak-anaknya dari sekolah pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti Aidilfitri lepas. 

Dalam kesibukan, suri rumah itu dikejutkan dengan satu panggilan daripada jirannya selepas beberapa orang yang tidak dikenali datang ke kampung mereka dan menampal satu notis di setiap rumah yang berpenghuni.

Notis itu, yang mengarahkan mereka mengosongkan rumah pada 2 Mei lepas menjadi igaun kepada kira-kira 12 keluarga yang menetap di Kampung Koskan Tambahan selama lebih 40 tahun. 

Berbaki dua hari sebelum Syawal menjelma, ia mematikan semangat dan kemeriahan raya penduduk kampung itu.

"Kami tak beraya tahun ini. Semua berkumpul di rumah mak. Sambil beraya sambil kami berbincang apa hendak buat," kata ibu kepada empat anak itu kepada MalaysiaNow.

Pada 2 Mei, seorang pegawai mahkamah dijadualkan menguatkuasakan notis roboh.

Penduduk melihat jentolak merobohkan rumah secara berperingkat sewaktu proses pengambilan tanah Kampung Koskan Tambahan dari penduduk kampung di Serendah, Rawang.
Penduduk melihat jentolak merobohkan rumah secara berperingkat sewaktu proses pengambilan tanah Kampung Koskan Tambahan dari penduduk kampung di Serendah, Rawang.

Hampir semua penduduk yang bekerja mengambil cuti bagi berdepan dengan pegawai tersebut. 

Mereka bersedia dengan sepanduk untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

Anak-anak mereka juga terpaksa ponteng hari pertama persekolahan sesudah musim perayaan, sebagai langkah persediaan sekiranya mimpi buruk mereka menjadi realiti.

Namun pada hari itu, tiada kelibat mana-mana pegawai yang datang ke kampung.

Jangkaan mereka, pegawai itu hanya akan datang sehari atau beberapa hari selepas itu, apabila perhatian media dan aktivis tidak lagi tertoleh kepada kampung tersebut.

Kampung Koskan Tambahan terletak di antara Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan sebatang sungai. 

Jalan masuknya hanya satu laluan yang kecil.

Antara sepanduk yang digantung oleh penduduk di laluan masuk Kampung Koskan Tambahan ketika proses pengambilan tanah di Serendah, Rawang, 3 Mei.
Antara sepanduk yang digantung oleh penduduk di laluan masuk Kampung Koskan Tambahan ketika proses pengambilan tanah di Serendah, Rawang, 3 Mei.

Sebidang tanah bersebelahan kampung itu telah diratakan oleh pemaju untuk tujuan pembangunan. 

Lot itu menjadi pertikaian antara penduduk yang memohon geran tanah seawal 2006 namun mereka diberitahu, lot yang dipohon merupakan rizab sungai. 

Pegawai kerajaan Selangor dalam satu kenyataan berkata, pemilikan itu dimaklumkan telah dikesan sejak 1890 sebelum dijual pada sebuah syarikat swasta pada 1991.

Sebahagian penduduk sudah pun bersetuju dengan wang yang diberikan oleh pihak tertentu untuk meninggalkan rumah mereka.

Namun pada penduduk kampung, ia ibarat penyelesaian “bawah meja” kerana tidak disertai hitam putih kepada mereka.

Salah seorang penduduk, Mohd Nizam Md Kasim menghantar memorandum penduduk kampung itu kepada Menteri Besar Amirudin Shari semasa satu program Aidilfitri baru-baru ini, sebagai usaha menyelamatkan perkampungan yang didiaminya sejak kecil itu.

Nizam berkata, sehingga 2 Mei lepas, tiada satu pemimpin politik utama yang datang meraih undi mereka semasa pilihan raya lepas datang menunjuk muka kepada penduduk kampung.

Namun mereka masih tiada tempat berteduh.

Seorang penduduk melihat jentolak merobohkan rumah secara berperingkat sewaktu proses pengambilan tanah Kampung Koskan Tambahan dari penduduk kampung di Serendah, Rawang, 3 Mei.
Seorang penduduk melihat jentolak merobohkan rumah secara berperingkat sewaktu proses pengambilan tanah Kampung Koskan Tambahan dari penduduk kampung di Serendah, Rawang, 3 Mei.

Mohd Saufi Md Kasim, suami kepada Wahida merancang untuk mengubahsuai sedikit rumahnya.

Barang dan peralatan sudah dibeli namun impiannya tidak kesampaian.

"Kami bukan berdegil, tapi mana kami hendak pergi? Kalau ada hitam putih Rumah Selangorku akan diberikan, ada nama kami (dalam geran rumah), okay lah," katanya.

Dan igauan mereka menjadi realiti. Pada 3 Mei, jentolak datang merobohkan rumah-rumah yang sudah tidak berpenghuni.

Bekalan elektrik diputuskan.

Baki penduduk diberi masa sehingga 11 Mei untuk tinggalkan kampung.

Wahidatul dan semua penduduk keluarga hanya mampu melihat ketika jentolak mula merobohkan satu persatu rumah di Kampung Koskan Tambahan.