- Iklan -
Berita

Kenaikan OPR mampu stabilkan harga barang?

Langkah BNM mengetatkan lagi dasar monetari itu sesuatu yang mengejutkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja meletakkan tanda harga baru bagi sepapan telur di sebubah kedai runcit di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Seorang pekerja meletakkan tanda harga baru bagi sepapan telur di sebubah kedai runcit di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Kenaikan kadar polisi semalaman (OPR) kepada 3.00% oleh Bank Negara (BNM) baru-baru ini mungkin tidak akan mencapai objektif dalam mengurangkan harga barang, meskipun inflasi dijangka terkawal, kata penganalisis.

Penganalisus ekonomi dari Institut IRIS, Adillah Zafirah berkata kenaikan kadar itu meningkatkan kos untuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS). 

"Satu tujuan meningkatkan OPR ialah untuk menstabilkan harga barangan tetapi ini berkesan apabila harga barang meningkat disebabkan oleh permintaan. 

“Sekiranya harga meingkat akibat kos yang bertambah, kenaikan OPR tidak akan membantu menyelesaikan isu harga," katanya kepada MalaysiaNow.

Langkah BNM mengetatkan lagi dasar monetari itu dilihat sesuatu yang mengejutkan apabila ramai menjangkakan OPR dikekalkan pada kadar 2.75%. 

Pada 2020, OPR turun pada rekod paling rendah iaitu 1.75% ketika pandemik Covid-19 melanda. 

Ia dinaikkan empat kali pada tahun lalu dengan jumlah kumulatif 100 mata. 

Dengan perkembangan terbaru ini, penganalisis menjangkakan BNM akan menaikkan OPR ke tahap sebelum pandemik, iaitu 3.25%. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menolak gesaan campur tangan kerajaan untuk mengekalkan kadar OPR dengan menyatakan ia adalah bidang kuasa BNM.

Kenaikan OPR antara lain untuk menaikkan nilai ringgit dan mengurangkan aliran wang keluar. 

Bagaimanapun, Adillah berkata, kebaikannya harus dilihat semula sama ada ia memanfaatkan rakyat atau kapitalis. 

Pakar perancangan dan analisis (Financial Planning & Analysis expert) Farid Affandi berkata, kenaikan kadar faedah di negara yang tidak mempunyai hutang isi rumah terlalu tinggi menyebabkan ramai orang berjimat cermat, sekali gus menurunkan permintaan kepada barangan dan seterusnya menstabilkan harga.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai hutang isi rumah antara yang tertinggi dengan nisbah 84.5% hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Gaji rakyat tidak naik dan ramai isi rumah di Kuala Lumpur menggunakan hutang untuk menyara hidup. Apabila kadar OPR dinaikkan, lebih sukar untuk meminjam wang dari bank kerana bank mungkin lebih berhati-hati apabila meluluskannya.

"Memandangkan lebih banyak wang diperlukan untuk membeli barangan yang sama, ini bermakna lebih ramai rakyat Malaysia akan terjebak dalam perangkap hutang isi rumah," katanya. 

Situasi itu dijangka menyebabkan lebih ramai orang meminjam ah long untuk kelangsungan hidup. 

Farid turut bersetuju bahawa kenaikan OPR sukar menyelesaikan masalah harga barang yang tinggi.

"Apabila kadar pinjaman meningkat, perniagaan PKS terpaksa naikkan harga juga. 

“Pada akhirnya, ia situasi 'kalah-kalah'," jelasnya.

Meskipun harga barangan kekal dan tidak naik, katanya rakyat tetap tiada kuasa membeli kerana perlu menggunakan wang untuk membayar hutang. 

Dengan situasi itu, Farid menyifatkan Malaysia sebagai penghidap “penyakit tiga serangkai” yang mana tiada ubat mampu diberikan tanpa menjejaskan aspek lain dalam kehidupan rakyat secara umum. 

Dalam pada itu, Adillah tidak bersetuju dengan hanya melihat OPR sebagai tanda ekonomi stabil. 

“Sudah ada banyak kajian yang menawarkan sukatan pertumbuhan ekonomi alternatif yang mengambil kira kesejahteraan rakyat. 

“Ia bukan sekadar OPR, KDNK atau Indeks Harga Pengguna," katanya.