- Iklan -
Berita

Pembangkang masih perlu kemuka cadangan peruntukan bagi Ahli Parlimen

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata cadangan itu adalah satu langkah ke arah memastikan kestabilan politik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof. Gambar: Bernama

Pembangkang masih perlu mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Fadillah yang ditugaskan berunding dengan wakil pembangkang berhubung isu pengagihan peruntukan ketika ditanya mengenai perkembangan isu berkenaan berkata cadangan itu perlu memandangkan kerajaan sekarang bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi Kerajaan Perpaduan.

"Masih tunggu cadangan dari mereka (pembangkang). Mereka kata tidak perlu cadangan. Tapi kena ingat ini bukan lagi kerajaan Pakatan Harapan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2), di Putrajaya hari ini.

Pada 4 April lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi kesediaannya memberi jumlah peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.

 Pada 6 April lepas, dilaporkan tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Fadillah mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen pembangkang. 

Tiga wakil itu ialah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.

Fadillah berkata parti pembangkang perlu mengemukakan cadangan peruntukan supaya dapat menjalin kerjasama ke arah kestabilan politik.

"Jadi kita perlu minta mereka kemukakan cadangan (peruntukan) bagaimana dengan peruntukan itu kita boleh jalinkan kerjasama ke arah memastikan negara lebih stabil dari segi politik. Itu yang kita nak," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.