- Iklan -
Berita

Rayuan Lynas gugur 4 syarat lesen ditolak namun operasi kilang dilanjut hingga 31 Disember

Chang Lih Kang berkata Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia bermula 1 Januari tahun depan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia berkuat kuasa 1 Januari 2024. Gambar: Facebook
Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia berkuat kuasa 1 Januari 2024. Gambar: Facebook

Rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) ditolak, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Chang dalam satu kenyataan hari ini berkata selepas pertimbangan, beliau memutuskan untuk menolak rayuan Lynas itu selepas satu sesi pendengaran diadakan pada 28 April lepas bagi mendengar rayuan Lynas  berhubung keputusan AELB itu.

Namun, beliau bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi kilang “cracking and leaching” (C&L) Lynas sehingga 31 Dis ini setelah mengambil kira kesan keputusan tersebut terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.

“Oleh yang demikian, berkuat kuasa 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia," katanya.

Sebelum ini, AELB menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan sisa Water Leach Purification (WLP) selepas Julai 2023, aktiviti C&L di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia. 

Keputusan itu bermakna Lynas tidak lagi boleh menghasilkan sisa radioaktif tambahan selepas Julai 2023.

Chang berkata  keputusan yang dibuat oleh menteri adalah muktamad berdasarkan Seksyen 32(5), Akta Perlesenan Tenaga Atom.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kepentingan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam," katanya.

Beliau berkata kerajaan memahami kepentingan industri nadir bumi dan komited untuk memastikan sebarang urusan perniagaan yang dijalankan berkaitan industri tersebut tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

“Justeru, keputusan ini diambil selepas penilaian yang teliti, berlandaskan prinsip kelestarian, pembangunan dan keselamatan,” katanya.

Chang berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan industri nadir bumi di Malaysia berkembang secara bertanggungjawab dan mematuhi peraturan serta piawaian yang ditetapkan.