- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang perjanjian dengan UNHCR berhubung pelarian, pemohon suaka di Malaysia

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata UNHCR mesti menjalankan tanggungjawabnya terhadap kumpulan ini dan tidak meletakkan beban kepada kerajaan semata-mata.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan pekerja asing sedang beratur.
Gambar fail menunjukkan pekerja asing sedang beratur.

Kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan suatu perjanjian dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu terhadap pelarian dan permohonan suaka di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) di Putrajaya semalam berkata perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab UNHCR di dalam negara itu adalah selaras dengan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).

"UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara selaras mandat dan fungsi penubuhannya dan tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan," katanya.

Menegaskan Malaysia bukan negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967, namun Zahid berkata kerajaan menghormati mandat penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR sepertimana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung PBB (1949) dan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).

“Atas prinsip-prinsip nilai kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan golongan ini untuk berada sementara di dalam negara sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal," katanya. 

Zahid berkata kerajaan mengambil berat kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti yang dijalankan segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka yang bertentangan dengan norma kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat yang sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan.

Beliau berkata kerajaan juga amat mengambil berat terhadap peningkatan yang amat ketara jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang kad UNHCR iaitu 75,617 orang pada tahun 2009 kepada 185,760 orang pada Mac tahun ini. 

Seramai 160,332 orang atau 86.3 peratus daripada keseluruhan pelarian dan pemohon suaka adalah pelarian dari Myanmar, iaitu 107,433 orang daripada pelarian Myanmar itu adalah etnik Rohingya.

Pelarian dari negara lain yang signifikan adalah Pakistan seramai 7,109 orang, Yemen (3,466 orang), Afghanistan (3,444 orang), Somalia (3,161 orang) dan Syria (3,161 orang).

Zahid berkata mesyuarat juga mengambil maklum terhadap tindakan UNHCR yang mendaftarkan 948 orang yang didakwa sebagai pelarian dari Indonesia dengan antara alasan yang diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan.

Zahid berkata kerajaan akan memberikan penekanan terhadap perancangan dan usaha  mengukuhkan peranan dalam pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama.

Antara kluster itu adalah mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui penubuhan jawatankuasa dan pasukan petugas khas dan mengenai penentuan status pelarian iaitu meningkatkan keupayaan dan penglibatan agensi kerajaan dalam penentuan status pelarian. 

Beliau berkata kerajaan juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap warganegara atau bukan warganegara yang didapati bersekongkol dengan ejen pemerdagangan manusia menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.