- Iklan -
Berita

Panggilan PMO, tukar tajuk di sebalik peningkatan indeks media Malaysia

Beberapa organisasi berita mengatakan bahawa keadaan tidak semestinya seperti yang digambarkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Wartawan membuat liputan berhubung pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya, 2 Disember 2022.
Wartawan membuat liputan berhubung pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya, 2 Disember 2022.

Laporan Reporters Without Borders menyaksikan Malaysia melompat ke tangga ke-73 dalam indeks kebebasan media 2023 daripada kedudukan ke-133 tahun lalu berdasarkan situasi media semasa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun kedudukan Malaysia yang tertinggi berbanding negara-negara Asean lain itu dilihat tidak bermakna apabila timbul aduan dari bilik-bilik berita merentas pelbagai agensi media mengenai campur tangan politik sehingga mengganggu kebebasan pelaporan berita.

Sumber dari sebuah organisasi media tempatan memberitahu, bilik beritanya dihubungi seseorang daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) selepas sebuah laporan mengenai Perdana Menteri Anwar Ibrahim disiarkan.

"Mereka meminta laporan itu diubah kerana tajuknya tidak 'sedap' dibaca.

“Bilik berita akur kerana mereka mahukan iklan daripada kerajaan," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Selain campur tangan dari belakang tabir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga menunjukkan sikap tidak mesra kepada kebebasan media dengan campur tangan beliau terhadap kandungan aplikasi TikTok yang didakwa membawa mesej ekstremisme dan perbalahan kaum.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu beberapa bulan lalu turut berselisih faham dengan akhbar tempatan Berita Harian (BH) berhubung laporan ramalan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR). 

Beliau turut bertemu dengan pengurusan dan pengarang BH bagi menyampaikan pandangan beliau selepas menyifatkan laporan itu sebagai satu bentuk "fitnah" terhadap kerajaan. 

Sebelum itu, laman sosial milik saluran berita TV3 didapati memadam laporan yang memetik kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menyeru orang ramai mengelak daripada membeli ayam jika harganya terlalu mahal. 

TV3 juga mendapat perhatian pada penghujung Ramadan lepas apabila membatalkan untuk menyiarkan rakaman takbir raya Perikatan Nasional (PN) yang ditempah atas alasan teknikal.

Satu lagi sumber daripada sebuah akhbar tempatan lain pula menceritakan bagaimana mereka dituduh menyokong PN oleh pegawai-pegawai lantikan politik dalam kerajaan.

"Mereka tidak suka dengan pelaporan dan sesetengah tajuk kami," katanya tanpa mahu dinamakan.

Sindiran demi sindiran juga diterima oleh sumber itu akibat laporan berita akhbar berkenaan.

Persepsi awam terutama dalam kalangan masyarakat Melayu menjadi antara cabaran terbesar Anwar sejak membentuk kerajaan campuran pada November lalu.

Beberapa kesilapan kecil atau "blunder" olehnya sendiri dilihat tidak membantu meningkatkan kredibiliti kerajaan pimpinannya.

Antaranya ialah lawatan ke Arab Saudi yang menyaksikan Anwar gagal bertemu dengan pemimpin kerajaan.

Selain itu, Anwar juga dikritik hebat kerana meminta orang Melayu agar tidak angkuh dan selesa dalam satu ucapan selepas lawatan ke Kemboja.

Kenyataan itu menerima kecaman daripada bekas mentornya, Dr Mahathir Mohamad yang kini giat mengkritik pentadbiran Anwar terutama mengenai isu-isu berkaitan pembelaan orang Melayu.

Tindakan Anwar membuat kenyataan dalam Parlimen untuk berunding dengan China berhubung pertikaian di Laut China Selatan yang dikritik oleh pemerhati, pembangkang dan penganalisis geopolitik.

Bahkan, pasukan komunikasi parti kerajaan dan perdana menteri dilaporkan bermasalah apabila “cybertrooper” Pakatan Harapan (PH) melaksanakan “mogok pro-bono” kerana tidak berpuas hati dengan prestasi Fahmi sebagai menteri yang bertanggungjawab menerangkan dasar-dasar kerajaan. 

Terbaru, pengarah media dan komunikasi strategik PMO Wan Nurzila Wan Abd Rahman meletak jawatan menerusi notis 24 jam.

The Star memetik sumber dalaman PMO sebagai berkata peletakan jawatan Wan Nurzila dikaitkan dengan pergeseran dengan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) berhubung kempen mempromosikan "Malaysia Madani", frasa yang digunakan oleh Anwar untuk menjenamakan kerajaan campurannya. 

Sementara itu, seorang pegawai penerangan di J-Kom pula memberitahu keadaan masih keliru dan serba serbi mengelirukan kerana arahan yang belum jelas daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenai hala tuju mereka untuk menangani permainan persepsi terutamanya di platform media sosial. 

Bercakap kepada MalaysiaNow katanya, ramai rakan sejawatnya yang bekerja di jabatan tersebut dan kementerian lain yang merupakan bekas wartawan kesal dengan apa yang sedang berlaku.

"Sebelum jadi pegawai penerangan mereka ada hubungan baik dengan Mohammad Agus Yusoff kerana selalu minta pandangan dan sebagainya. 

"Sekarang lepas duduk kerja di bawah seliaan beliau, ramai yang kecewa malah ada yang sengaja tak kenalkan diri bila bertembung di mana-mana acara," katanya merujuk kepada bekas pensyarah yang mengetuai unit propaganda kerajaan Anwar. 

Tambahnya, keadaan makin membimbangkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri apabila lebih ramai pegawai J-Kom diletakkan di setiap daerah dalam negeri untuk melihat situasi semasa secara lebih dekat dengan masyarakat. 

Bagaimanapun, sehingga kini tiada arahan jelas untuk para pegawai melakukan rutin dan tugasan mereka kerana arahan bercampur aduk dan tiada pihak yang memutuskan ketetapan perintah mana yang patut diberi keutamaan.

Katanya, terdapat rakan-rakannya masih minat menulis berita tetapi menukar kerjaya menjadi pegawai penerangan kerajaan kerana mahu menggunakan pengalaman kewartawanan sebagai kelebihan. 

"Tapi mereka luahkan rasa kesal sebab merasakan mereka tiada fungsi.

"Lebih baik kerja menulis semula, paling tidak pun hanya dimarahi ahli politik kerana tak suka artikel yang ditulis.

"Tapi sekarang ahli politik jadi bos mereka di pejabat.

“Bukankah beza kedudukannya tu?"