- Iklan -
Berita

Selepas setahun, Suki masih belum dapat kerakyatan

Kanak-kanak perempuan yang kisahnya menyentuh hati ramai rakyat Malaysia masih menunggu jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Suki duduk di atas sofa di ruang tamu semasa temu bual dengan MalaysiaNow pada 13 Mei 2022.
Suki duduk di atas sofa di ruang tamu semasa temu bual dengan MalaysiaNow pada 13 Mei 2022.

Selepas hampir setahun kisah gadis tanpa kerakyatan, Suki Wong Pei Yee menarik perhatian umum, bapanya kini tampil merayu supaya kerajaan meneliti permohonan anaknya agar dia dapat diberikan taraf kewarganegaraan.

Wong Kon Foo berkata, selagi Suki tidak menerima kerakyatan, masa depannya masih tidak menentu meskipun keluarganya sudah menerima pelbagai bantuan daripada orang ramai.

Wong berkata, walaupun berasa syukur atas keprihatinan ramai, dia bagaimanapun tetap bimbang apabila Suki masih tidak mendapat akses yang diterima rakyat Malaysia lain seperti pendidikan, kesihatan dan juga pekerjaan pada masa hadapan.

"Saya harap permohonan Suki juga akan mendapat perhatian kerajaan," katanya Wong kepada MalaysiaNow.

"Selagi Suki tidak mendapat kerakyatan, masa depannya masih dianggap gelap kerana dia akan mampu hidup normal seperti rakyat Malaysia yang lain."

Rayuan Wong itu dibuat selepas dua daripada artikel MalaysiaNow baru-baru ini telah mendapat perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mana permohonan salah seorang daripadanya sudah diluluskan.

Pada 1 April lalu, MalaysiaNow melaporkan kisah Clara Sonia Joseph, seorang remaja tiada kerakyatan yang ditinggalkan ibu kandungnya ketika berusia 3 tahun.

Kemudian pada 22 April lalu, kisah mengenai Nurul Akashah, seorang gadis berusia 26 turut menarik perhatian umum apabila dia selama bertahun-tahun berusaha seorang diri untuk mendapatkan kerakyatannya.

Sehingga hari ini, Clara berjaya mendapatkan kelulusan untuk permohonannya manakala Nurul Akashah atau lebih mesra dipanggil Yuyu, dihubungi wakil daripada KDN berhubung permohonannya.

Pada 22 Mei tahun lepas, MalaysiaNow melaporkan kisah Suki, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang cekal menjaga bapanya yang separa lumpuh seorang diri selepas kematian ibunya, Tran Diem Kiew, sejak April 2021.

Kisah itu menarik perhatian ramai sehingga keluarga terbabit tidak menang tangan melayan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pendakwah selebriti dan ahli politik yang datang menziarah menghulurkan bantuan.

Malah, terdapat juga individu yang enggan identitinya disiarkan, tampil untuk membantu Suki masuk taska bagi membolehkan kanak-kanak itu belajar membaca serta bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Sementara itu, peguam, Chen Yu Szen yang membantu keluarga itu untuk mendapatkan kerakyatan Suki memberitahu MalaysiaNow, memaklumkan kali terakhir beliau cuba berhubung dengan pihak KDN adalah pada 22 Disember tahun lepas.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini, masih tiada maklum balas diterima daripada kementerian itu.

"Kami sudah menghantar empat dokumen iaitu surat beranak Suki, kad pengenalan dan kad OKU bapanya serta sijil kematian ibunya kepada KDN," katanya.

“Setakat ini tiada maklum balas dan kami masih menunggu."