- Iklan -
Berita

Azam Baki dilantik semula sebagai KP SPRM

Beliau dilantik semula sebagai ketua agensi antirasuah itu untuk tempoh setahun lagi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 12 Mei.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali sebentar tadi.

Azam, yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020, baru-baru ini terlibat dalam kontroversi berhubung dakwaan konflik kepentingan dalam pemilikan sahamnya.

Beliau disiasat berhubung dakwaan pembelian saham dan waran pada 2015 serta 2016 di dua syarikat tersenarai awam.

Azam bagaimanapun menegaskan bahawa pembelian saham itu dibuat adiknya yang menggunakan akaun Perkhidmatan Depositori Pusat (CDS) miliknya, sekali gus menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan.

Isu itu didedahkan oleh bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Lalitha Kunaratnam.

Pada Januari tahun lepas, Azam telah memfailkan saman fitnah terhadap Lalitha berhubung artikel aktivis tersebut yang disiarkan portal berita Independent News Service pada 15 Disember 2021.

Perbicaraan dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

Sepanjang menerajui SPRM, agensi antirasuah itu membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Bersatu Wan Saiful Wan Jan tahun ini. 

Suruhanjaya itu turut membekukan beberapa akaun bank milik Bersatu berhubung dakwaan penyelewengan dana yang digunakan kerajaan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Selain itu, agensi tersebut juga sedang melakukan siasatan terhadap kes melibatkan pengambilan pekerja asing, yang menyaksikan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dipanggil untuk memberi keterangan bulan lepas.

Semalam, Sivakumar berkata lima pegawainya telah dipecat bagi memastikan kelancaran operasi di kementerian itu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi