Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diketuai Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini menamakan tiga pemimpin partinya untuk menerajui agensi utama di bawah kementerian itu, dengan dua lagi pengerusi dilantik masing-masing daripada PKR dan DAP.
Ini sekali gus menjadikan agensi berkaitan pertanian dikuasai oleh ahli politik Pakatan Harapan (PH).
Tiga pemimpin Amanah itu termasuk Faiz Fadzil yang dilantik mempengerusikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Mahfuz Omar dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Kedua-dua pemimpin itu bertanding atas tiket PH dalam pilihan raya umum tahun lalu tetapi tewas.
Sementara itu, bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah dari Perak, Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Dua lagi, Azman Ismail dari PKR serta Sheikh Umar Bagharid Ali dari DAP masing-masing diberikan tanggungjawab menerajui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan pelantikan itu.
Katanya, pelantikan itu berdasarkan "pengalaman luas mereka" dalam pelbagai bidang termasuk dalam penggubalan dasar, pengurusan dan pentadbiran.
"Saya yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka dalam menerajui dan mengalas amanah serta tanggungjawab dalam menyokong dan memastikan pembaharuan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Tahniah saya ucapkan pada semua yang dilantik," kata Mohamad, merujuk kepada frasa yang digunakan Anwar untuk menjenamakan pentadbirannya.
Terdapat beberapa ahli politik dari PH dan sekutu barunya Umno dilantik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan, badan berkanun dan agensi kerajaan, meskipun gabungan itu berjanji untuk menghapuskan lantikan politik.
Anwar bagaimanapun mempertahankan pelantikan itu, berkata mereka yang diberi jawatan berkenaan layak memainkan peranan itu dan tertakluk kepada "peraturan yang lebih ketat", manakala Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga mewajarkan pelantikan itu dengan mengatakan mereka tidak berada dalam jawatan berkaitan perniagaan.
Sementara itu, timbalan Anwar, Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno, berkata pelantikan itu akan diteliti oleh sekretariat kerajaan yang diketuai oleh Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Namun, Asyraf sendiri dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), agensi terbesar yang memperkasakan ekonomi Bumiputera di negara ini.
Pemimpin Umno lain yang dilantik mengetuai agensi kerajaan termasuk bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican yang dinamakan sebagai pengerusi Matrade dan Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub diberi tanggungjawab menerajui Felcra Berhad.
Beberapa ahli politik PKR turut diberi jawatan tertinggi, termasuk Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh sebagai pengerusi bukan eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi di bawah kementerian komunikasi dan digital yang diketuai oleh Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR Bakhtiar Wan Chik dinamakan untuk mengetuai cabang pelaburan milik kementerian itu MyCreative Ventures Sdn Bhd, dan Abdullah Sani Abdul Hamid, yang tewas di Kapar pada pilihan raya lepas, dilantik sebagai pengerusi Tekun Nasional.