- Iklan -
Berita

Berduit tapi tak mampu menyimpan, penjawat awam mengeluh OPR naik

Kenaikan kadar OPR kepada 3% telah dijangka, selari dengan pertumbuhan ekonomi negara, namun begitu ia membebankan banyak pihak.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.

Norazizan Yahya sudah berkhidmat sebagai guru sekolah menengah di Johor selama tiga tahun sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta mampu milik dengan pinjaman bank selama sembilan tahun.

Ketika itu, dia merasakan situasi kewangannya sudah stabil dan mampu untuk menguruskan perbelanjaan ansuran bulanan.

Dia mula mendapatkan pinjaman kenderaan pada Januari 2020 iaitu kira-kira tiga bulan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya meskipun ketika itu terdapat kemudahan yang diumumkan kerajaan seperti moratorium pinjaman bank, dia masih membayar bayaran kenderaan sebanyak RM485 sebulan kerana gaji bulannya sebagai guru tidak terjejas.

Selepas pandemik, kata Norazizan, hidupnya mula berasa “sesak” kerana terkesan dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sejak beberapa bulan lalu.

Paling terbaru, bayaran ansuran kenderaan Perodua Bezza yang berusia tiga tahun itu berubah dan meningkat sekali lagi apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan OPR meningkat 25 mata asas kepada 3%.

Dia memberitahu, ansuran bulanannya sebelum ini pernah meningkat kepada RM545 dan kini dia menerima surat dan panggilan telefon daripada pihak bank dengan kadar ansuran baru berjumlah RM533 sebulan.

“Saya dan suami memang terkesan sebab kenaikan gaji kami sebagai guru seperti tidak bawa apa-apa makna. Sebabnya gaji naik tapi pada masa sama komitmen hutang bulanan meningkat.

“Sepatutnya kalau gaji ada kenaikan, kami boleh dah nak tarik nafas lega sikit kerana boleh menyimpan (wang). Tapi sekarang nampaknya perkara tu mustahil pula nak dibuat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambahnya, selain OPR yang meningkat sehingga menjejaskan pengurusan perbelanjaannya, mereka suami isteri turut terkesan dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu.

“Pernah bincang dengan suami rasa nak batalkan pinjaman tapi banyak halangan oleh pihak bank.

“Betul-betul rasa (pinjaman) jadi beban walaupun sebelum ini rasa saya sudah mampu dan stabil. Harapnya tiada lagi kenaikan dalam masa terdekat.”

Norazizan antara salah seorang daripada jutaan peminjam bank di seluruh negara yang terkesan dengan kenaikan kadar OPR yang menyaksikan peningkatan jumlah bayaran bulanan hutang isi rumah.

Di media sosial, lebih ramai individu tampil secara terbuka berkongsi kesempitan kewangan masing-masing akibat pengumuman OPR itu.

Rata-rata menyuarakan kebimbangan tentang komitmen masing-masing untuk mengeluarkan peruntukan yang lebih untuk membayar hutang bulanan kepada bank sedangkan keadaan kewangan sedia ada sudah cukup "menghimpit" mereka. 

"Nampaknya rumah bukan lagi aset. Liabiliti yang perlu dibayar sehingga habis pencen.

"Sudah boleh rancang jual rumah dan tak terikat bayaran bulanan yang tak menentu," tulis Maria Haliza di Facebook.

Selain itu, seorang pegawai kerajaan gred 44 mahu dikenali sebagai Sahibullah berkata dirinya yang tidak mempunyai pinjaman rumah sebaliknya hanya menyewa turut berdepan masalah akibat kenaikan OPR. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia dan isterinya sudah setahun empat bulan menyewa sebuah unit kondominium di Presint 15 dengan harga sewaan sebanyak RM1,350 sebulan.

Unit itu datang dengan tiga bilik dan diisi perabot sepenuhnya menjadikan ianya satu unit rumah yang mampu milik di kawasan elit berkenaan.

Bagaimanapun, kata Sahibullah pada bulan Jun akan datang, tuan rumah meminta kenaikan harga bayaran bulanan sebanyak RM200 dengan alasan bayaran bulanan pinjamannya meningkat.

"Ini di luar perjanjian yang kita tandatangan. Tapi kalau kita keluar rumah dah batalkan kontrak, deposit lebih RM4,000 tak dapat semula.

"Saya dah isteri jadi tersepit. Nak keluar tapi nak ke mana? Kalau terus sewa, bayaran mahal. Lebih baik beli rumah sendiri.

"Tapi kalau beli rumah, bayar pinjaman bank berpuluh tahun. Kalau terus jadi penyewa, macam tak dapat pembelaan pula."

Kali terakhir OPR berada pada kadar 3% ialah 5 November 2019 sebelum ia diturunkan kepada 1.75%, paras terendah dalam sejarah pada 7 Julai 2020 disebabkan penularan Covid-19.

Tahun lalu, OPR mula dinaikkan sebanyak empat kali kepada 2.75% dengan peningkatan kumulatif 100 mata asas sebelum ia dinaikkan sekali lagi pada 3 Mei lalu kepada 3%.

Kemungkinan kadar OPR terus meningkat?

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie, berkata kenaikan itu sememangnya sudah dijangka apabila keadaan ekonomi negara kembali berkembang, semakin hampir dengan keadaan seperti sebelum penularan pandemik.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau menjangkakan kadar itu berkemungkinan akan kekal untuk tahun ini apabila ia sudah mencapai paras "memadai".

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya angka itu akan terus dinaikkan, namun ia akan bergantung kepada pemerhatian serta penilaian risiko yang akan dibuat oleh Bank Negara.

Menurut Lee, kenaikan OPR perlu dilakukan seiring dengan situasi ekonomi negara dan kadar kenaikan itu juga ditentukan dengan mengambil kira kadar inflasi negara.

"Naik turun OPR bukan dibuat sewenang-wenangnya dan ia ditentukan secara bebas oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara tanpa campur tangan kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Kenaikan OPR di Malaysia tidak begitu agresif seperti beberapa negara luar kerana kadar inflasi yang masih terkawal disebabkan pemberian subsidi."

Mengulas lanjut, Lee berkata, kenaikan OPR juga akan memberi "ruang bernafas" apabila negara terpaksa berdepan situasi krisis sekali lagi, yang mana kadar itu boleh kembali diturunkan.

Katanya, tujuan ia diturunkan sebelum ini adalah bagi merancakkan kembali ekonomi apabila ia menggalakkan orang ramai berbelanja.

"Jika OPR masih rendah dan Malaysia berdepan lagi situasi krisis, Bank Negara tidak ada ruang lagi untuk menurunkan kadar itu.

"Mesyuarat MPC seterusnya akan berlangsung pada awal Julai depan. Sama ada OPR akan kekal atau dinaikkan pastinya bakal diumumkan pada tarikh tersebut," tambah beliau.