- Iklan -
Berita

Malaysia kekal di tangga ke-7 walau raih 6 emas

Kejayaan meraih enam pingat emas itu merupakan pencapaian terbaik negara setakat ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Atlet pencak silat negara Norsyakirah Muksin bergambar bersama pingat emasnya selepas menewaskan atlet Indonesia Suci Wulandari dalam acara akhir kategori bawah 45kg wanita pada Sukan SEA 2023 semalam. Gambar: Bernama
Atlet pencak silat negara Norsyakirah Muksin bergambar bersama pingat emasnya selepas menewaskan atlet Indonesia Suci Wulandari dalam acara akhir kategori bawah 45kg wanita pada Sukan SEA 2023 semalam. Gambar: Bernama

Kontinjen negara gagal memperbaiki kedudukan dalam carta pungutan pingat walaupun menambah enam pingat emas selepas berakhir hari kelima temasya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh semalam.

Kejayaan meraih enam pingat emas itu yang merupakan pencapaian terbaik setakat ini menyaksikan kontinjen negara kekal berada di kedudukan ketujuh dengan kutipan keseluruhan 21 emas, 22 perak dan 42 gangsa.

Skuad silat muncul pasukan terbaik hari ini apabila menyumbangkan tiga pingat emas menerusi Norsyakirah Muksin dalam kategori bawah 45 kilogram (kg) Putri, Nor Farah Mazlan (kategori 45-50kg Putri) dan Muhammad Izzul Irfan Marzuki (kategori 60-65kg Putra).

Tiga pingat emas lagi adalah menerusi penerjun Lee Yiat Qing dalam acara 10m platform wanita, atlet wushu Tan Cheong Min (nanquan wanita) dan pemain golf Ng Jing Xuen bagi acara individu wanita.

Malaysia turut menambah tujuh pingat perak dan 10 pingat gangsa. 

Selepas tamat saingan hari ini, Vietnam yang mengumpul keseluruhan 50 pingat emas, 50 perak dan 61 gangsa merampas kedudukan teratas, manakala tuan rumah Kemboja di kedudukan kedua dengan 47-41-51.

Thailand yang sebelum ini, mendahului carta kedudukan pingat, turun dua anak tangga di tempat ketiga selepas mengumpul 47 emas, 36 perak dan 53 gangsa. 

Tumpuan kontinjen negara pada hari keenam temasya esok bagi menambah kilauan emas sudah pasti terarah, antaranya kepada skuad ping pong wanita yang melakar kejutan mara ke pentas final selepas 30 tahun dalam acara berpasukan.

Malaysia dijadual berdepan Thailand dalam perlawanan akhir pada 10 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia).

Selain itu, Malaysia juga berpeluang menambah pungutan pingat emas apabila skuad badminton lelaki yang menyingkirkan juara bertahan Thailand dalam acara berpasukan di peringkat separuh akhir, bakal membuat perhitungan berdepan musuh tradisi, Indonesia pada final esok.

Esok, golf juga bakal menjadi tumpuan apabila pemain negara akan memulakan cabaran dalam acara berpasukan lelaki bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi Hanoi, Vietnam tahun lepas.