- Iklan -
Berita

Pulau Pinang setuju kurangkan skala projek tambak laut sebanyak 49%

Pembinaan bagi dua daripada tiga pulau buatan itu tidak akan diteruskan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara bangunan ikonik Komtar dan Jambatan Pulau Pinang, 31 Januari 2022.
Pemandangan udara bangunan ikonik Komtar dan Jambatan Pulau Pinang, 31 Januari 2022.

Kerajaan Pulau Pinang bersetuju mengurangkan skala projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) sebanyak 49% dengan tidak meneruskan pembinaan 'Pulau B' dan 'Pulau C'. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri menyahut seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar skop PSI diperkecilkan. 

“Hanya Silicon Island (Pulau A) seluas 2,300 ekar (930.7) akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun bagi kerja-kerja tambakan, manakala Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.5 hektar) dan Pulau C seluas 800 ekar ( 323.7 hektar) tidak diteruskan.

“Untuk makluman, Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PSI yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui surat bertarikh 11 April lepas meliputi ketiga-tiga pulau seluas 4,500 ekar (1821.08 hektar),” katanya dalam sidang media di Georgetown hari ini.

Beliau berkata Silicon Island akan kekal sebagai tapak depoh transit aliran ringan (LRT) dengan keluasan 24.4 hektar, manakala komponen taman perindustrian berteknologi tinggi Green Tech Park (GTP) dan pusat komersial Heart of the Island (HOTI) juga akan dikekalkan sebagai pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu Pulau Pinang.

Chow berkata fasa pertama Silicon Island berkeluasan 526.09 hektar, termasuk tapak depoh LRT, dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan, dan hampir tidak akan memberi sebarang kesan kepada golongan nelayan yang keluar ke laut, manakala fasa kedua akan merangkumi keluasan 404.6 hektar.

Secara keseluruhan, katanya jangka masa pembangunan Silicon Island termasuk bahagian sisi atas adalah selama 20 tahun.

Menurutnya dengan pengurangan skala projek tersebut, hanya seramai 115 nelayan daripada unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan dengan tapak tambakan Silicon Island akan terlibat secara langsung, berbanding 496 orang jika membabitkan pembinaan ketiga-tiga pulau seperti  perancangan awal sebelum ini.

"Dengan perkembangan terbaharu ini, skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk golongan nelayan terlibat akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Nelayan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam masa terdekat," katanya. 

Sementara itu, Chow berkata perubahan kepada projek itu tidak akan mengakibatkan apa-apa kerugian kepada kerajaan negeri mahupun rakan kongsi penyampaian projek, SRS Consortium kerana kedua-dua pihak cuma memeterai perjanjian untuk Pulau A sahaja. 

Dari segi kos tambakan dan kemudahan asas Silicon Island, Pengarah Projek SRS Consortium Szeto Wai Loong berkata ia dijangka mencecah RM8.5 bilion.

“Model yang kami gunakan ialah kami bangunkan tapak tanah untuk dilelong kepada pembida tertinggi, kemudian pembida yang berjaya akan membangunkan tanah mereka,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri dan SRS Consortium tidak akan terlibat dalam pembangunan tapak tanah, sebaliknya cuma mengawal dari segi pembangunan mengikut zon.

Pada 6 Mei lepas, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu kerajaan Pulau Pinang menyegerakan projek pembinaan LRT George Town-Bayan Lepas.

“Difahamkan bahawa mesyuarat untuk membincangkan Projek LRT ini sudah dipanggil membabitkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan. Kerajaan negeri berharap kita akan turut terlibat dalam perbincangan teknikal ini,” katanya.